Ahad, 5 Mac 2023

Bercuti di Pulau Pangkor Perak



Ada dua jeti dari Lumut ke Pulau Pangkor iaitu dari Terminal Jeti Lumut ataupun Kompleks Jeti Marina Island. Saya dan dua teman bercuti ke Pulau Pangkor ini pada akhir February 2023 selama tiga hari dua malam dan kami menaiki feri dari Terminal Jeti Lumut.


Perjalanan menaiki feri sekitar 30 minit dengan tambang Rm10.00. Kami menginap di Utan Telok Nipah Pulau Pangkor. Petang itu setelah check in kami cuma berehat di penginapan. Malam pula kami bersiar dan makan di deretan kedai makan Telok Nipah. Hari kedua selepas sarapan, kami mengambil pakage snorkling pada jam 9:00 pagi. Pakage kami tiga orang untuk sebuah bot kecil dengan harga Rm100.00 tanpa had masa. Kami dibawa melihat Batu Selawat, Batu Kaki, Batu Buaya, Batu Penyu dan Batu Paus sebelum dihantar ke Pulau Giam untuk snorkling.






Pemandangan Pulau Giam amat indah pagi itu, sayangnya karang dan coral di pulau ini tidak seindah pemandangan di atas. Kami tidak berlama-lama di sini dan menghubungi pemandu bot untuk mengambil kami. Disebabkan kami hanya sebentar di pulau ini, pemandu bot menghantar kami ke Teluk Man untuk mandi manda. Sekitar setengah jam di sana, kami sekali lagi memanggil pemandu bot untuk pulang.



Setelah pulang dan berehat, kami mengambil keputusan mengelilingi pulau menaiki kereta yang kami sewa. Kami memandu ke Teluk Dalam. Terdapat sebuah jeti tinggal di sini dan kami berehat sebentar di jeti ini.



Kemudian kami meneruskan perjalanan dan kami singgah minum di cafe Pangkor Bus Resort yang merupakan penginapan dalam bas di Pulau Pangkor.




Seterusnya kami ke Sungai Pinang Kecil. Terdapat limbungan membuat bot dan kilang perusahaan hasil laut di sepanjang perjalanan. Kami tidak melawat ke kilang- kilang ini. Kami singgah di Masjid Al Khairiah. Masjid yang terletak di dalam kawasan komuniti Cina ini amat menarik. Selain berbentuk seperti senibina cina, masjid ini juga dicat dengan warna merah terang dan putih. Terdapat sebuah telaga lama di belakang masjid ini.




Setelah melawat masjid al Khairiah, kami bertanya kepada penduduk tempatan simpang ke bukit tangga Pelangi atau tangga 300. Kami mendaki bukit yang dibina tangga yang dicat berwarna warni ini. Kami mengambil masa sekitar 15 minit untuk sampai ke puncak bukit ini. Menurut lelaki cina yang kami temui di puncak bukit ini, bilangan tangga yang kami daki melebihi 300 dan dari puncak bukit ini kami melihat laut dan pemandangan Pulau Pangkor.





Seterusnya kami ke Kota Belanda yang terletak di Telok Gadong. Kota Belanda ini dibina pada tahun 1670, lebih 300 tahun dahulu sebagai tempat penyimpanan bijih timah bagi Negeri Perak. Kota Belanda dibina menghadap ke laut sekitar 100 meter.





Kemudian kami ke Masjid Al Badr' sekitar satu kilometer dari Kota Belanda di Telok Gadong. Masjid ini yang juga dikenali Masjid 1000 Selawat ataupun Masjid Terapung Pulau Pangkor.




Kemudian kami berpatah balik dan singgah sebentar di Batu Bersurat yang terletak di antara Kota Belanda dan Masjid Al Badr'. Batu Bersurat ini dikatakan semakin membesar dari masa ke semasa. Di batu ini terdapat lukisan seorang anak yang di baham seekor binatang buas.



Kemudian kami ke pantai Jalan Pasir Bogak. Pasir di pantai ini halus dan lokasi di sini amat baik untuk melihat matahari terbenam. Kami berehat sebentar di sini.




Kemudian kami bergerak ke Sunset View Chalet di Telok Nipah. Aktiviti memberi makan Burung Enggang berlangsung setiap hari bermula jam 18:30 petang. Tiada bayaran dikenakan untuk menyertai aktiviti menarik ini, namun memberi sedikit sumbangan seikhlas hati digalakkan untuk tuan rumah membeli pisang sebagai makanan Sang Enggang.





Setelah pulang semula di Telok Nipah, lengkaplah perjalanan kami mengelilingi Pulau Pangkor. Hari ketiga sebelum kami berangkat pulang, kami ke Kompleks Bebas Cukai untuk membeli sedikit buah tangan.
 

Kami berangkat pulang melalui Terminal Jeti Lumut seperti hari kami datang.




Jumaat, 3 Mac 2023

Sembilan tempat menarik di Pulau Pangkor

 

Jika bercuti di pulau Pangkor, sebaiknya sewa kereta atau motor agar mudah kita mengelilingi pulau. Itulah yang saya dan dua teman lakukan semasa bercuti ke pulau bebas cukai ini pada penghujung bulan February 2023. Kami mengelilingi pulau dan berpeluang singgah di beberapa tempat di pulau ini.

1. Kota Belanda. Kota ini menghadap ke laut dan dibina pada tahun 1670, lebih 300 tahun dahulu. Tujuan kota ini dibina adalah sebagai tempat menyimpan bijih timah untuk negeri Perak.





2. Masjid AL Badr' atau Masjid 1000 Selawat.
Masjid ini terletak di Teluk Gadong berdekatan dengan Kota Belanda.





3. Batu Bersurat.
Batu Bersurat ini juga terletak di Teluk Gadong, lokasinya antara Kota Belanda dan Masjid AL Badr' atau Masjid 1000 Selawat.



4. Masjid AL Khariah.
Masjid yang terletak di Sungai Pinang Kecil ini berada di kawasan masyarakat Cina dan seni bentuk masjid ini juga seperti senibina bangunan Cina.



5. Tangga Pelangi 
Bukit Tangga Pelangi ini juga dikenali sebagai Bukit Tangga 300 terletak di Sungai Pinang Kecil. Simpang ke bukit ini agak hampir berhadapan Masjid AL khairiah. Pembaca boleh bertanya kepada penduduk tempatan jika ingin ke bukit ini.





6. Pantai Pasir Bogak
Pantai di Jalan Pasir Bogak ini merupakan kawasan terbaik melihat matahari terbenam. Pasir pantainya halus dan bersih.




7. Memberi Enggang makan 
Aktiviti ini sangat menarik. Jadual memberi Enggang makan ini berlangsung dari jam 18:30 petang di Sunset View Chalet di Teluk Nipah.





8. Shopping di Kompleks Bebas Cukai.
Setelah diiktiraf sebagai Pulau Bebas Cukai, maka bertambah banyaklah buah tangan untuk dibawa pulang dari pulau ini selain dari hasil laut. 


9. Pulau Giam
Snorkeling di pulau ini seperti satu kemestian jika berkunjung ke Pulau Pangkor. Walaupun karang di sini kurang, namun pemandangan pulau ini menarik. Di samping itu kita berpeluang melihat batu- batu yang menyerupai batu buaya, batu ikan paus dan batu kalimah.




Aktiviti berjalan kaki dari Pantai Telok Nipah ke Pulau Giam berlaku setahun sekali iaitu sekitar bulan Januari dan February ketika air surut. Pembaca boleh memeriksa dahulu tarikh air laut surut jika ingin merasai pengalaman ini.