Ada dua jeti dari Lumut ke Pulau Pangkor iaitu dari Terminal Jeti Lumut ataupun Kompleks Jeti Marina Island. Saya dan dua teman bercuti ke Pulau Pangkor ini pada akhir February 2023 selama tiga hari dua malam dan kami menaiki feri dari Terminal Jeti Lumut.
Setelah pulang dan berehat, kami mengambil keputusan mengelilingi pulau menaiki kereta yang kami sewa. Kami memandu ke Teluk Dalam. Terdapat sebuah jeti tinggal di sini dan kami berehat sebentar di jeti ini.
Kemudian kami meneruskan perjalanan dan kami singgah minum di cafe Pangkor Bus Resort yang merupakan penginapan dalam bas di Pulau Pangkor.
Seterusnya kami ke Sungai Pinang Kecil. Terdapat limbungan membuat bot dan kilang perusahaan hasil laut di sepanjang perjalanan. Kami tidak melawat ke kilang- kilang ini. Kami singgah di Masjid Al Khairiah. Masjid yang terletak di dalam kawasan komuniti Cina ini amat menarik. Selain berbentuk seperti senibina cina, masjid ini juga dicat dengan warna merah terang dan putih. Terdapat sebuah telaga lama di belakang masjid ini.
Setelah melawat masjid al Khairiah, kami bertanya kepada penduduk tempatan simpang ke bukit tangga Pelangi atau tangga 300. Kami mendaki bukit yang dibina tangga yang dicat berwarna warni ini. Kami mengambil masa sekitar 15 minit untuk sampai ke puncak bukit ini. Menurut lelaki cina yang kami temui di puncak bukit ini, bilangan tangga yang kami daki melebihi 300 dan dari puncak bukit ini kami melihat laut dan pemandangan Pulau Pangkor.
Kemudian kami ke Masjid Al Badr' sekitar satu kilometer dari Kota Belanda di Telok Gadong. Masjid ini yang juga dikenali Masjid 1000 Selawat ataupun Masjid Terapung Pulau Pangkor.
Kemudian kami berpatah balik dan singgah sebentar di Batu Bersurat yang terletak di antara Kota Belanda dan Masjid Al Badr'. Batu Bersurat ini dikatakan semakin membesar dari masa ke semasa. Di batu ini terdapat lukisan seorang anak yang di baham seekor binatang buas.
Kemudian kami ke pantai Jalan Pasir Bogak. Pasir di pantai ini halus dan lokasi di sini amat baik untuk melihat matahari terbenam. Kami berehat sebentar di sini.
Kemudian kami bergerak ke Sunset View Chalet di Telok Nipah. Aktiviti memberi makan Burung Enggang berlangsung setiap hari bermula jam 18:30 petang. Tiada bayaran dikenakan untuk menyertai aktiviti menarik ini, namun memberi sedikit sumbangan seikhlas hati digalakkan untuk tuan rumah membeli pisang sebagai makanan Sang Enggang.
2 ulasan:
Assalam, maksudnya pihak tuan/puan sekadar pergi/balik hari?
Saya ingat anda menginap di sana. Kot-kot saya nak ke sana, saya plan nak tidur di hotel di Pulau Pangkor. Terima kasih berkongsi pengalaman.
Wsalam.. saya bercuti 3h2m.. kami bermlm 2 mlm di utan Telok nipah pulau pangkor tuan ..
Catat Ulasan