Isnin, 29 Mei 2023

Berkhemah dan trekking air terjun di Lata Kolam



Saya dan lima teman berehat sambil berkhemah di Lata Kolam Air Deru pada pertengahan May 2023. Semalaman memandu dari Penang ke Lata Kolam Air Deru Eko Park yang terletak di Daerah Jerteh, tidak terasa letih setelah mendirikan khemah dan berehat di tepi sungai yang cantik, jernih dalam suasana nyaman dan amat menenangkan jiwa kami.





Petang hari pertama di sini, kami cuma berehat, makan dan mandi manda di sungai tempat kami berkhemah. Hari kedua, saya dan seorang teman merancang trekking di sungai untuk menjejaki lata dan air terjun yang terdapat di hulu sungai. Pagi itu dua lagi teman bersemangat menyertai kami menyusuri sungai dan setelah bersedia kami berempat ditemani dua orang guide bergerak menyusuri sungai menuju ke hulu. Kami menyusuri tepi sungai hingga ke Pengkalan Raja.







Kemudian trek memasuki hutan dan jalur mula menaik sedikit sehingga kami sampai di Lata Kelong. Pemakaian haruslah sesuai jika ingin melakukan activity ini dan sedikit latihan mungkin perlu kepada yang kurang suka aktivity lasak.





Di Lata Kelong terdapat kawasan untuk berkhemah dan kawasan untuk mandi manda juga amat cantik. Dua teman kami menyerah diri di sini dan mereka berdua  sepakat menunggu kami sambil mandi  manda di kawasan ini. 




Saya bersama seorang teman dan dua orang guide meneruskan trekking ke air terjun seterusnya. Kami sampai di Lata Pelangi sekitar 10 minit trekking. Air terjun di sini tinggi. Ketika cahaya matahari membias ke air terjun, kami melihat bayangan pelangi terbentuk di sini.





Setelah berehat sebentar dan merakam gambar, Sharil guide kami bertanya sekiranya saya ingin ke Gua Permata. Saya bersetuju dan di pertemuan dua sungai kami  menyusuri sungai di belah kiri. Kami meneruskan perjalanan meniti batu- batu besar di sungai sehingga sampai di muka Gua Permata. Berehat sebentar di sini, kami yang telah lencun mengambil kesempatan mandi di kolam hadapan pintu gua.









Shahril bertanya samada saya ingin menjelajah ke dalam gua, tetapi memikirkan dua teman yang menunggu di Lata Kelong, saya mengambil keputusan membatalkan penjelajahan ke dalam gua dan meneruskan perjalanan ke Lata Cetek.





Perjalanan menuju Lata Cetek sungguh pengujakan. Kami meniti batu-batu besar di tebing sungai dan pemandangan hutan dan air sungai yang jernih kehijauan amat memukau. Kami merakam gambar semahunya di sepanjang perjalanan walau di tempat yang sama namun masih merasa perlu rakam sebagai kenangan. 










Sepanjang perjalanan ke Lata Cetek, kami menyeberangi sungai dan melalui banyak air terjun. Sambil menyusuri sungai kami mengambil kesempatan mandi manda dan merakam gambar. Saya juga mendermakan darah pada keluarga pacat yang mengiringi perjalanan kami sebagai buah tangan.





Kami mandi manda di Lata Cetek yang jerneh dengan air separas paha ini. Lata Cetek merupakan destinasi terakhir yang kami jejaki dan kemudian kami berpatah balik ke Lata Kelong melalui laluan kami datang tadi. Setelah berkumpul semula dengan dua teman yang menunggu di Lata Kelong, kami berenam berangkat pulang ke Lata Kolam Air Deru tempat kami berkhemah dan bermalam.





Petang itu setelah pulang dari trekking lata dan air terjun, kami mandi lagi di sungai berhadapan kawasan khemah dan malam pula acara BBQ. Keesokan paginya, setelah sarapan dan mandi sungai, kami berangkat ke tujuan masing-masing pada jam 13:00 petang.




Lata Kolam Air Deru menyediakan keperluan asas seperti tempat bermalam seperti bilik penginapan, banglo, cabin Dom, tapak perkhemahan dan sebagainya. Berbagai activity boleh dilakukan di sini selain berendam di sungai yang jerneh, bersih dan dingin activity lain seperti atv, pinball, trekking, river tubing, fun booting dan berbagai lagi. Di sini juga terdapat bilik air, tandas dan surau. Lata Kolam Air Deru merupakan destinasi riadah pasti ulang.

Contack Lata Kolam Air Deru- 019 6931662
Shahril - 013 9178633


Rabu, 24 Mei 2023

Mendaki Gunung Sarut Setiu



Ada had masa mendaki ke puncak Gunung Sarut ini jika pendakian satu hari. Saya dan dua teman mendaki ke gunung ini di pertengahan bulan May 2023. Kami bergabung dengan dua orang kenalan baru dan dipandu arah oleh seorang guide. Disebabkan ada masa dihadkan di setiap check point jalur menuju puncak, guide kami menyusun jadual sebaik  mungkin agar matlamat menuju puncak tercapai. Kami berenam berkumpul di Masjid Kampung Sungai Bari pada jam 07:00 pagi. Setelah membeli bekalan makanan di warung berhampiran masjid, kami meneruskan pemanduan menuju ke Taman Eko Rimba Lata Payung.


Kami memakir kenderaan di kawasan pakir Lata Payung secara percuma dan setelah semua sedia kami memulakan pendakian ke puncak Gunung Sarut pada jam 07:45 pagi. Di permulaan trek tangga batu menurun sehingga kami menyeberangi sungai melalui titi gantung.



Trek bermula setelah menyeberangi titi gantung dan kami meneruskan perjalanan menuju ke Bluepool. Jalur redup, agak mendatar dan kami sampai di Check Point 1 atau lebih dikenali Bluepool pada jam 08:30 pagi. Kami bersarapan di atas batu tepian sungai dan kolam air yang jernih ini.






Selesai sarapan, kami meneruskan pendakian ke Check Point 2 atau dikenali Hentian Nokia. Jalur agak menegak tetapi redup. Kami sampai di Hentian Nokia pada jam 10:25 pagi dan berehat sebentar di sini.




Kemudian kami meneruskan pendakian ke Check Point 3 atau Persimpangan Bonsai dan sampai di sana pada jam 11:15 pagi. Check Point 3 merupakan persimpangan antara jalur ke Kem Bonsai dan jalur ke puncak. Cut off time untuk dayhike di sini adalah 12:00 tengahari.




Jam 11:40 kami meneruskan pendakian ke puncak. Dari jalur Persimpangan Bonsai ke puncak kami menyusuri jalur yang agak terbuka dinaungi pokok-pokok bonsai yang cantik. Kami melalui beberapa view point dan cut off time di kawasan view point ini adalah 12:30 tengahari jika dayhike. Dari jalur yang mempunyai ruang terbuka ini kami melihat puncak Gunung Sarut. 







Kami sampai di puncak Gunung Sarut 1229 mdpl pada jam 13:25 petang. Kami berehat sambil makan dan merakam gambar di puncak yang dikelilingi pokok ini. Tiada pemandangan dapat dilihat dari puncak tertinggi Daerah Setiu ini.




Jam 13:55 petang kami bergerak turun ke Kem Bonsai dan sampai di sana pada jam 15:15 petang. Kem Bonsai adalah tempat bermalam jika melakukan pendakian dua hari semalam. Di sini terdapat kawasan tapak khemah yang rata dan luas. Punca air dari anak sungai berdekatan juga amat menarik dan bersih segar.





Setelah berehat sekitar 20 minit di Kem Bonsai, kami meneruskan perjalanan turun dan sampai di Bluepool sekitar jam 17:25 petang. Kami bermandi manda sebentar di kolam dingin jernih ini dan meneruskan perjalanan turun pada jam 17:45 petang.



Kami sampai semula di tapak pakir sekitar jam 18:35 petang dan pendakian Gunung Sarut berakhir di sini.



07:45- Mula mendaki dari Lata Payung
08:30- Bluepool check point 1
Breakfast 
09:15- Meneruskan pendakian
10:25- Check Point 2, Hentian Nokia
11.15- Check Point 3, Persimpangan Bonsai
13.25- Sampai Puncak Gunung Sarut
13.55- Gerak turun ke Kem Bonsai
15.15- Kem Bonsai, rehat 20 minit
17.25- Sampai Bluepool, mandi-manda
17:45- Gerak turun
18.30- Titi Gantung
18.35- Sampai parking
18:50- Bersurai, gerak pulang.

Khidmat Guide
Hazim - 011 33331385