Jumaat, 18 Julai 2025

Bercuti di Pulau Pemanggil Johor



Setiap tahun dalam agenda percutian, saya akan selitkan destinasi percutian ke Pantai Timur. Pertengahan bulan June 2025 saya bercuti dari Terengganu hingga ke Johor. Saya dan kawan-kawan menghabiskan masa bersama bercuti di Lanting Resort Pulau Pemanggil selama tiga hari dua malam. Sebenarnya percutian ini tertangguh dari July tahun lepas kerana cuaca yang tidak baik tahun itu. Pakage yang telah dibayar, kami tunaikan tahun ini. Perjalanan bermula dari Jeti Batu 2 atau Jeti Lazam. Saya pernah ke jeti ini dulu semasa menaiki bot ke Pulau Aur dan Pulau Dayang beberapa tahun dulu.


Kami sarapan di kedai makan Jeti Lazam ini sambil menunggu kawan-kawan yang datang dari tempat yang lain. Saya dan tiga kawan sampai awal sehari dan bermalam di homestay Mersing. Pagi itu kami memakir kenderaan di tempat parkir berbayar di Jeti Lazam. Setelah berkumpul kami seramai lapan orang berangkat ke Pulau Pemanggil sekitar jam 08:20 pagi. Hanya kumpulan kami sahaja yang menaiki bot tersebut. Perjalanan lancar sekitar satu jam 20 minit dan kami sampai di Jeti Lanting Resort pada jam 09:40 pagi.



Sampai di Jeti Lanting Resort kami disambut oleh beberapa orang petugas resort dan sarapan pagi siap terhidang di pelantar jeti. Kami berehat dan bersarapan di sana dahulu sebelum mengambil kunci bilik.




Air laut di Pulau Pemanggil sangat jernih. Dari pelantar jeti tempat kami menjamu selera, kami melihat dengan jelas ikan-ikan berbagai jenis dan warna dan juga beberapa ekor sotong yang bersaiz besar berenang santai di bawah. Setelah semua puas  menikmati pemandangan sambil mengisi perut, kami mengambil kunci bilik masing-masing setelah mendengar serba sedikit peraturan di tempat penginapan dan jadual aktiviti percutian kami dari guide.


Petang itu selepas makan tengahari, kami memulakan aktivity hari pertama. Kami di bawa menaiki bot dan singgah di beberapa tempat di Pulau Pemanggil. Tempat pertama yang kami singgah adalah Kampung Buau. Terdapat beberapa buah rumah berpenghuni di kampung yang mempunyai sebuah sekolah dan seorang murid ini. Kami mandi manda di kampung ini, bertegur sapa dengan penduduk kampung dan berjalan di pinggir pantai yang dibina pelantar bersimen.









Setelah pulang ke penginapan, kami mandi manda lagi di kawasan resort sementara menunggu guide menurunkan buah kelapa yang kami pesan. Di sebelah malam, setelah makan kami berehat di jeti sambil menikmati air kelapa yang kami pesan petang tadi. Kami berehat agak lama di jeti ini sambil bercerita memandangkan kami telah kenal berbelas tahun dan banyak kali mendaki bersama.



Hari kedua, kami mengambil pakage snorkling satu hari. Setelah sarapan pagi, kami menaiki bot menuju ke persinggahan pertama iaitu Batu Belah. Setelah turun untuk snorkling, saya melihat batu-batu seperti lantai yang terbelah-belah di kawasan snorkling yang jernih ini.







Kemudian kami ke Turtle Bay. Tidak ada penyu di sini pagi itu. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Shipwrecked atau dikenali juga Pemanggil Titanic. Terdapat sebuah kapal karam di sini. Kapal karam tersebut dipercayai dari China dan karam kerana terlanggar batu berkemungkinan ketika cuaca buruk atau kerana masalah lain. Ketika kami sampai di kawasan kapal karam tersebut, terdapat bahagian kapal yang timbul kerana air surut. Rezeki kami kata pilot boat. Guide terus berenang dan mengikat tali pada kapal karam sebelum kami dibenarkan turun.



Kami bergambar di bahagian kapal yang timbul itu. Kemudian guide mengajak kami berenang hingga ke hujung kapal. Kapal itu sungguh besar pada pandangan saya. Saya hampir sampai ke hujung ketika saya berpatah balik ke bahagian timbul itu. Saya rasa agak seram bila terus berenang di kawasan yang semakin dalam dan masih belum sampai ke hujung kapal.


Sepatutnya jadual seterusnya kami mendaki Bukit Buau. Tetapi disebabkan letih bermain air, kami membatalkan rencana ke sana. Kemudian kami ke Nemo Spot dan Giant Brain Coral.



Inilah kali pertama saya snorkling di laut yang penuh dengan telur sotong. Pada masa itu air laut kelihatan agak sesak dengan telur sotong. Menurut kawan-kawan lain, fenomena ini juga tidak pernah mereka temui ketika snorkling.
 


Kemudian kami singgah di 100 Years Walid Cave. Kami cuma bergambar dari atas bot berlatar belakangkan Gua Burung Walid ini.



Ada lagi satu spot snorkling kami batalkan kerana letih dan telah puas berenang. Disebabkan masih awal, kawan-kawan saya bertanya kepada pilot bot sekiranya dia boleh membawa kami ke Pulau Aur. Pilot bot sangsi sekiranya minyak bot tidak cukup walaupun jarak ke Pulau Aur dan Pulau Dayang hanya 30 minit perjalanan. Setelah mengagak sukatan minyak, akhirnya kami ke Pulau Aur.



Sampai di Pulau Aur kami menikmati ais kacang di gerai hujung jeti. Selepas itu sisi gelap Pulau Dayang pun berlaku. Persatuan Bot Pulau Dayang meminta kami membayar sejumlah wang kerana kami berkunjung ke Pulau Dayang tanpa menginap di sana. Menurut pilot bot, menjadi kebiasaan pengunjung yang tidak bermalam di Pulau Aur atau Pulau Dayang dikenakan sejumlah bayaran jika ke Pulau Aur. Kerana tidak mahu menimbulkan masalah kami setuju membayar Rm300 setelah tawar menawar walaupun kami kurang paham tujuan bayaran. Kami kemudian merakam gambar di Pulau Aur dan mandi manda di Pulau Dayang sebelum bergerak pulang ke Pulau Pemanggil.








Malam itu selepas makan malam kami berehat di jeti sambil minum air kelapa. Malam itu kami habiskan masa hingga larut malam di jeti sambil duduk dan baring-baring terlentang menyaksikan ribuan bintang yang bertaburan di langit. Seperti malam semalam, kami akhiri hari kedua di Pulau Pemanggil di jeti sambil bercerita hingga mengantuk. Terima kasih Allah kerana cuaca yang bagus. 



Hari ketiga, sebelum sarapan kami bersiar di pantai dan menyaksikan matahari terbit di hujung resort. Cuaca hari itu sungguh cerah. Kami berehat di tebing batu sambil melayan naluri masing-masing.









Setelah sarapan kami check out dan memulangkan semua peralatan snorkling. Kemudian kami menaiki bot sekitar jam 10:00 pagi menuju ke Mersing.



Terima kasih kawan-kawan, semoga kita berjumpa lagi di percutian akan datang. Terima kasih Allah kerana hadiahkan kawan-kawan sama minat.

Contact Pulau Pemanggil: lantingbeachresort@yahoo.com
Pak Din 012 3317808


Isnin, 7 Julai 2025

Mendaki Bukit Panorama di Sungai Lembing


Saya dan seorang kawan berkhemah di Jiwa Campside Sungai Pandan pada pertengahan bulan June 2025. Kami singgah tiga hari dua malam di campside yang mempunyai air terjun yang menjadi salah satu tarikan di Bandar Kuantan dalam percutian kami di pantai timur tahun ini.




Pagi hari kedua, kami bercadang mendaki Bukit Panorama di Sungai Lembing. Malam itu hujan lebat dan saya fikir pasti esok pagi akan ada awan di puncak Bukit Panorama. Disebabkan hujan lebat malam itu, saya dan kawan agak kemalasan bangun awal untuk memulakan perjalanan ke Sungai Lembing. Kami memulakan perjalanan ke sana sekitar jam 7:30 pagi. Perjalanan mengambil masa sekitar 30 minit dari tapak perkhemahan. Dengan berpandukan google map kami sampai di permulaan trek Bukit Panorama. Terdapat tandas, pondok rehat dan papan tanda Bukit Panorama. 815 anak tangga perlu didaki untuk sampai ke puncak Bukit Panorama. Kami memulakan pendakian pada jam 08:10 pagi.



Trek Bukit Panorama didominasi tangga batu yang dibina dan diselenggara dengan baik untuk memudahkan pendaki. Terdapat palang besi di tengah tangga untuk memisahkan jalur naik dan turun yang sekali gus berfungsi sebagai tempat pemegang dan berpaut.



Semasa kami mendaki, kami berselisih dengan beberapa orang pendaki tempatan yang dalam perjalanan turun. Kami bertegur sapa dan dari mereka kami diberitahu awan karpet tebal pagi itu. Menurut mereka yang mula mendaki seawal jam 05:00 pagi, tiada pemandangan matahari terbit kerana kabus agak tebal. Dari celah-celah semak saya melihat awan karpet mulai berkurangan semasa saya mendaki.





Kami sampai di atas sekitar jam 08:50 pagi. Terdapat pondok tempat berteduh dan kami meneruskan perjalanan melalui jalur kanan sebelah pondok. Kesemua pendaki telah turun dan kami akhirnya sampai di hujung jalur. Terdapat binaan tulisan besar Bukit Panorama. Hamparan awan karpet masih tebal pagi itu. Kami bergambar agak lama di sana dan saya mencari-cari papan tanda ketinggian Bukit Panorama. 



Setelah puas bergambar kami bergerak turun. Sampai di pondok rehat saya ternampak jalur seperti ada puncak lain. Kami kemudian menyusuri jalur tepi pondok tersebut dan sampai di puncak sebenar Bukit Panorama.




Kami tidak berlama-lama di puncak ini. Setelah merakam beberapa keping gambar, kami kemudian bergerak turun melalui trek bertangga kami datang tadi.




Ahad, 29 Jun 2025

Mendaki Bukit Keluang di Besut


Saya dan seorang teman singgah di Besut pada pertengahan June 2025 dalam perjalanan kami ke Johor melalui Pantai Timur. Kami bermalam di Bukit Keluang Beach Resort yang terletak tidak jauh dari Bukit Keluang. Setelah bertanya pada petugas resort cara dan arah mendaki Bukit Keluang, kami bertekad ke sana esok pagi. Keesokkan paginya kami memandu ke pantai Bukit Keluang dan memakir kereta di depan deretan gerai sana.


Ada dua jalur menuju puncak Bukit Keluang. Kami bercadang mendaki dari jalur landai dan turun melalui jalur yang agak pacak di pintu gua tempat kami memakir kereta. Dari tempat parkir kami berjalan ke starting point jalur mendaki Bukit Keluang sekitar satu kilometer.



Di papan tanda Bukit Keluang, tempat permulaan pendakian, terdapat kawasan parkir dan pondok. Beberapa orang pendaki sedang berbual dan kami bertegur sapa dan bertanya arah trek ke puncak Bukit Keluang. Mereka menawarkan diri menunjuk arah kami setelah tahu kami baru pertama kali ke sini. Encik Ramli memberi pilihan pada kami memilih trek dari sini. Menurutnya, sebelah kanan papan tanda agak santai manakala dari belah kiri papan tanda sedikit menegak. Tentu kami memilih dari arah yang landai di sebelah kanan. Kami memulakan pendakian sekitar jam 8:10 pagi. Trek jelas, terjaga dan redup.  


Setelah mendaki sekitar 15 minit kami bertemu dengan jalur yang bermula dari kiri papan tanda di permulaan trek. Jika tanpa Encik Ramli, berkemungkinan kami akan tersasar trek ke puncak kerana saya tidak nampak tanda ke puncak. Jalur ke puncak sedikit atas dan berpatah balik dari arah kami daki. 


Menghampiri puncak terdapat palang besi penghadang pendaki dari jatuh ke jurang laut jika tergelincir. Dari sini, jalur mulai terbuka dan pemandangan mula terlihat jelas dengan hembusan angin laut.


Setelah mendaki sekitar 30 minit sambil bercerita dengan kawan baru yang sama minat, kami sampai di puncak Bukit Keluang yang mempamirkan keindahan laut dari aras sekitar 141 mdpl. Terdapat pondok dan bangku panjang untuk pendaki berehat dan berteduh di puncak bukit ini. 





Teringat kenangan saya menaiki paragliding di Bukit Bubus beberapa tahun lalu. Masa itu saya melihat pendaki dan trek di Bukit Keluang ini dengan jelas. Kami berehat seketika di pondok yang bersih dan selesa ini sambil menghirup udara segar. Kami merakam gambar kenangan sebelum turun melalui jalur bertentangan kami daki tadi.


Turun melalui jalur ini memang agak curam seperti yang saya baca di internet. Terdapat tali diikat di beberapa bahagian di jalur untuk pendaki berpaut. Sampai di tangga batu, saya sedikit lega kerana kami hampir sampai di penamat jalur. 





Sampai di bawah kami berehat seketika dan merakam beberapa keping gambar di Gua Bukit Keluang. Kami kemudian kembali ke resort dan meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu dalam siri percutian kami.




Terima kasih kawan baru. Encik Ramli juga boleh menjadi guide untuk gunung-gunung tertentu di Negeri Terengganu. Contact Encik Ramli 019 6894170.