Jumaat, 14 Ogos 2020

Mencandat sotong di Pulau Kapas



Saya bersama 15 orang teman bercuti ke Pulau Kapas dan agenda utama kami adalah untuk mencandat sotong. Kesemua kami tidak pernah mencandat sotong dan pasti ini merupakan permulaan yang akan menentukan samada kami akan mengulangi aktivity ini di masa akan datang atau serik. Memandangkan ini kali pertama kami mencandat, berbagai petua, persediaan dan pil mabok laut kami beli. Hari pertama kami sampai, Alif yang menguruskan pakage mencandat sotong memberitahu kami ramalan ombak laut tinggi pada hari itu. Dia mencadangkan kami mencandat esok malam. Menurut ramalan cuaca, ombak membadai setinggi 1.3 meter malam esok berbeza 3.0 meter pada malam ini. Kami yang kurang berpengalaman tentang keadaan laut bersetuju menangguhkan aktivity mencandat keesokkan malamnya.


Di Pulau Kapas kami menginap di Chalet Ombak Kapas. Petang hari kedua, jam 17:30 petang kami telah siap sedia untuk pergi mencandat. Jam 18:00 petang kami seramai 15 orang berangkat menaiki dua buah bot menuju ke tengah Laut China Selatan.



Setelah belayar sekitar sejam, kami sampai di tengah laut yang luas. Terdapat beberapa buah bot terpakir di sana dengan tujuan yang sama dengan kami. Setelah pemandu bot pasti tempat untuk melabuhkan sauh, kerja-kerja mencari kedudukan bot untuk dihentikan mengikut arah tiupan angin pun bermula. Di sini saya melihat pengalaman dan pengetahuan alam di laut luas menjadi tunjang penting sebagai nelayan. Sejak bot dihentikan, beberapa orang teman saya mula mabok dan tidak berdaya berdiri tegak. Saya dan beberapa orang teman masih bertahan dan semangat mencandat terus membara.



Selepas semua sedia dan matahari tenggelam, kami mula mencandat. Bila hari semakin gelap, pemandu bot memasang beberapa buah lampu untuk menarik perhatian sotong. Bila kawan saya menaikkan seekor sotong pertama untuk bot kami malam ini, teriakkan kegembiraan pun bergema di malam pekat tengah Lautan China Selatan. Sejak itu semakin galak sotong dinaikkan memberangsangkan semangat kami. Setiap ekor sotong yang berjaya dinaikkan, pasti kami bersorak riang seolah menang bola piala dunia.




Jam 22:00 malam, tiba-tiba ribut melanda tanpa memberi isyarat terlebih dahulu dan saya sedikit panic namun awak-awak bot kelihatan tenang melakukan kerja yang sepatutnya mereka lakukan. Mereka bertanya samada kami mahu pulang atau bertahan. Saya dan teman-teman sepakat mengambil keputusan untuk pulang kerana ada teman yang telah mabok teruk dan kami juga telah puas mencandat. Dalam perjalanan pulang ke chalet, kami singgah sebentar di sebalik sebuah pulau untuk berlindung dari ribut. Menurut pemandu bot, kebanyakkan bot yang mencandat bertahan di tengah laut dan tidak pulang kerana menurut naluri mereka, ribut mungkin tidak berpanjangan. Dari jauh saya melihat lampu-lampu bot masih berada di tengah laut. Kami yang hanya ingin merasai pengalaman mencandat tidak mahu mengambil risiko dan mengambil keputusan untuk pulang, tambahan pula hati dan semangat kami tidak setegar mereka.



Setelah selamat sampai di chalet, kami terus membakar sotong segar yang berjaya kami naikkan tadi. Dengan pertolongan pekerja chalet menyalakan arang dan bara, kami bekerjasama menyediakan peralatan dan ramuan asas membakar sotong dan pencicah. Ma Sya Allah, memang enak rasa sotong segar. Kami menjamu selera sepuasnya tengah malam itu.



Keesokan paginya, jam 10:00 pagi kami berangkat pulang dengan membawa baki sotong yang kami candat malam tadi. Setibanya kami di Kuala Terengganu, setelah bergambar di Jambatan Angkat dan membeli belah di Pasar Payang, kami mencari kedai makan yang sedia memasak hasil tangkapan kami malam tadi. Beberapa kedai yang kami singgah keberatan memasak sotong yang kami bawa dan akhirnya sebuah kedai berjaya dipujuk untuk mengoreng sotong kami.




Terima kasih pada Restoran Wawak Addin Kuala Terengganu yang ramah dan sporting mengoreng sotong yang kami tangkap malam tadi dengan bayaran mengikut keikhlasan kami. Saya pasti ke restoran ini lagi jika berkunjung ke Kuala Terengganu di masa akan datang. Kalau pembaca ke sini, pastikan cuba minuman Lemon Selasih Pudina yang nikmat rasanya. Walaupun sotong goreng tepong mudah didapati di sekitar Kuala Terenganu dan sepanjang jalan pulang, tapi rasa sotong hasil tangkapan sendiri lebih enak dimakan dengan kenangan manis. Setelah puas menikmati sotong goreng, kami nekad dan sepakat untuk mencandat lagi di masa akan datang. Serik mungkin pada teman yang mabok semasa mereka di tengah laut, tapi tidak setelah mereka menjejakkan kaki di tanah. Tambahan pula hasil tangkapan menjadi suntikan semangat. Walaupun hasil candat kami tidak banyak tapi rezeki Allah beri malam itu mencukupi dan berlebihan untuk kami rasai bersama. Semoga bila mencandat di masa akan datang kami lebih bersedia dan dimurahkan rezeki. Terima kasih Allah.

Nota:
1- Musim mencandat bermula pada April sehingga September setiap tahun.
2- Ambil pil mabuk sejam sebelum belayar pada yang mabuk laut.
3- Contact mencandat, Alif +60148248535.

Khamis, 30 Julai 2020

Mendaki Bukit Ulu Malau, Gerik Perak.



 
Saya dan seorang teman menyertai "open trip" ke Bukit Ulu Malau di Gerik, Perak pada akhir July 2020. Semua peserta diminta berkumpul di Masjid Al Ansari Kampung Malau Kenering pada jam 05:00 pagi. Jam 06:40 pagi setelah semua bersedia, kami bersarapan dahulu sebelum meneruskan aktivity pendakian. Kami juga membungkus bekalan makanan untuk tengahari nanti. Jam 07:35 kami menaiki powil melalui Kampung Malau ke "starting point" pendakian yang mengambil masa sekitar 20 minit.


Kami sampai di destinasy terakhir yang boleh dilalui powil sekitar jam 08:00 pagi. Setelah sedikit taklimat diberikan oleh GMan selaku GOGO dalam trip ini, kami memulakan pendaki pada jam 08:05 pagi. Di awal pendakian kami menyusuri jalur di kebun getah, jalur agak semak tetapi masih boleh dilalui. 




15 minit kami trekking, kami menyeberangi anak sungai dan kemudian keistimewaan Bukit Ulu Malau pun terpampang di depan mata. Kami berehat sekitar 15 minit di air terjun yang pertama kami jumpa ini sambil merakam gambar. Air jernih yang terjun dari batu tinggi tegak berdiri di Hutan Simpan Bintang Hijau ini agak curam dan tidak sesuai dijadikan tempat mandi kerana terciptanya dengan kedudukan agak berbahaya. Guide mengikat seutas tali bagi memudahkan kami menyeberangi air terjun ini untuk meneruskan pendakian.




Setelah berehat sekitar 20 minit di sini, kami meneruskan pendaki ke puncak Bukit Ulu Malau. Jalur agak semak kerana jarang dilalui pendaki. Sekitar 15 minit trekking, kami sampai di air terjun kedua. Kawasan air terjun ini lebih lebar dan sesuai untuk mandi manda bila pulang nanti. Kami berehat lagi sambil merakam gambar di sini. Selepas 15 minit kemudian, kami meneruskan pendakian ke puncak. 





Meneruskan pendakian ke puncak selepas air terjun kedua ini agak memerah tenaga. Kami mendaki tiga bukit yang agak tinggi di selang seli trek sedikit mendatar. Sesekali kami melalui jalur pokok yang berduri. Kami ditemani tiga orang Guide. Pendakian di Bukit Ulu Malau ini memerlukan kebenaran dan permit dari Jabatan Hutan Perak.








Kami sampai di Puncak Bukit Ulu Malau di ketinggian 834 meter pada jam 12:15 tengahari. Di puncak terdapat bairut penanda ketinggian. Pemandangan puncak dikepong pokok-pokok besar menyebabkan kami tidak dapat melihat pemandangan di bawah dengan jelas. Namun rendangnya daun pokok memayungi kami dari panas terik tengahari itu. Kami berehat, makan dan bergambar sekitar sejam di Puncak Bukit Ulu Malau ini. Jam 13:15 petang kami mula bergerak turun dan sampai di air terjun kedua pada jam 15:30 petang. Kami berkelah dan mandi manda di air terjun kedua ini.








Dalam perjalanan naik dan turun kami kadang kala tersasar sedikit kerana trek tidak begitu jelas disebabkan jarang dilalui. Bukit Ulu Malau jarang didaki tambahan pula penanda trek tidak di tanda rapat atau mungkin ada yang telah tertanggal. Kami sampai di tempat powil pada jam 17:05 petang dan meneruskan perjalanan keluar. Kami sampai semula di Masjid Al Ansari Kampung Malau pada jam 17:30 petang di mana perjalanan berakhir di sini. Kami kemudian bersurai dan meneruskan perjalanan pulang ke destinasy masing-masing. Terima kasih teman-teman yang bekerjasama dalam hiking hari ini. Terima kasih ALLAH.

Nota:
1-Pendakian ke Bukit Ulu Malau memerlukan kebenaran dan permit dari Jabatan Hutan Negeri Perak.
2-GOGO: Gman 013-4424008
Itenerary:
05:00 Berkumpul di Masjid Al Ansari Kampung Malau.
07:35 Menaiki powil ke starting point Bukit Ulu Malau.
08:00 Taklimat.
08:05 Memulakan pendakian.
12:15 Sampai Puncak Bukit Ulu Malau.
13:15 Bergerak turun.
15:30 Air terjun kedua, mandi manda dan berkelah.
17:05 Sampai tempat parking powil
17:30 Sampai semula di Masjid Al Ansari Kampung Malau.


Sabtu, 4 April 2020

Tanjung Dawai, pasar hasil laut popular Utara Semenanjung



Bandar kecil tepi laut yang sinonem dengan hasil laut ini terletak di Daerah Kuala Muda, sekitar 30 Kilometer dari Bandar Sungai Petani. Jika berkunjung ke daerah ini, pasti pengujung akan ke Arked Tanjung Dawai, tempat pemasaran hasil laut yang telah dikeringkan.


 
Arked Tanjung Dawai terletak bersebelahan dengan Jeti ke Pantai Merdeka. Arked ini beroperasi dari jam 07:00 pagi hingga jam 18:00 petang dan kebiasaannya waktu perniagaan di sini akan dilanjutkan ketika musim cuti. Harga hasil laut di sini berpatutan dan jika ke sini jangan lepaskan peluang menikmati hidangan popular seperti mee udang di gerai-gerai tepi jalan dan sekitar tanjung dawai.



Sekiranya anda berkunjung ke Utara Semenanjung terutamanya ke Kedah, datanglah ke sini dan rasailah kesedapan hasil laut segar di sini.


Rabu, 18 Mac 2020

Nat Pokok Getah Pasar Pagi Paling Meriah Di Utara Semenanjung




Di bahagian Utara Semenanjung Malaysia pasar pagi dipanggil Nat. Salah satu pasar pagi yang popular di sini adalah Nat Pokok Getah yang terletak di Kampung Hutan, Arau Perlis. Nat Pokok Getah ini sebenarnya menjual barangan seperti pasar-pasar pagi yang lain namun kedudukkan pasar yang ditempatkan di kawasan kebun getah telah berjaya menarik perhatian peniaga apatah lagi orang tempatan dan pengunjung sekitar Utara Semenanjung untuk berbelanja di sini.





Pasar ini beroperasi dari jam 07:30 pagi sehingga tengahari sekitar jam 12:00, dua hari seminggu iaitu pada hari Jumaat dan Ahad, namun suasana peniagaan pada hari Ahad lebih meriah. Harga barangan yang dijual di sini berpatutan seiring dengan pendapatan penduduk setempat. Semasa saya berkunjung ke sini pada awal March 2020, harga ikan laut seperti ikan kembong sangat murah sekitar RM3.00 sekilogram.



Di sini terdapat warong untuk sarapan dan menjamu selera. Berbagai jenis kuih tradisional tempatan boleh dijumpai. Selain makanan, pasar pagi ini juga menjual pakaian baru dan terpakai, barangan antik, pasar basah dan kering, pokok bunga dan anak benih tumbuhan, buah- buahan, binatang peliharaan dan berbagai lagi.











Tiada bayaran dikenakan jika memakir kereta di bahu jalan, namun pengunjung harus memakir kenderaan di tempat yang sesuai agar tidak mengganggu lalu lintas. Jika sepanjang bahu jalan tidak terdapat tapak pakir, pengunjung boleh memakir kenderaan di halaman rumah penduduk kampung yang menyediakan tapak pakir berbayar dengan harga berpatutan dan kenderaan anda lebih selamat di sana.

Nota:
Cara ke sini, guna google map.