Jumaat, 13 Disember 2024

Mendaki Gunung Tsurugi di Shikoku

 

Saya terjumpa kedudukan gunung ini semasa saya mencari info tentang Iya Kazurabashi Bridge. Sebenarnya saya lebih tertarik untuk melalui jambatan akar suami isteri Iya Kazurabashi dan Oku- Iya di Lembah Iya ini. Setelah membaca mengenai jambatan gantung ini saya terjumpa cerita Gunung Tsurugi yang juga terletak di hujung jalan sehala jambatan gantung di Iya Valley. Masalah saya untuk mendaki gunung ini adalah menyusun perjalanan menggunakan pengangkutan awam yang agak terbatas. Setelah pulang dari trekking di Nakatsu Gorge semalam, saya ke Information Center di bandar Kochi untuk mendapatkan jadual bas ke Minokoshi kerana saya cuma mengetahui bilangan bas dalam sehari dan cara menuju ke Minokoshi.


Pagi itu kami menaiki keretapi menuju ke Oboke seawal jam 08:00 pagi dari Kochi. Kami sampai di Oboke pada jam 08:50 pagi. Kemudian kami menaiki bas dari Oboke ke Kubo pada jam 08:58 dan sampai di Kubo pada jam 10:16 minit. Kemudian kami meneruskan perjalanan menaiki bas dari Kubo ke Minokoshi pada jam 10:20 dan sampai di Minokoshi pada jam 11:10 pagi. Bas dari Oboke ke Kubo sebanyak empat kali sehari manakala dari Kubo ke Minokoshi pula dua kali sehari. Untuk ke Minokoshi dengan pengangkutan awam, kita perlu mendapatkan jadual perjalanan terlebih dahulu kerana pada hari-hari tertentu, bas tidak beroperasi. Di Minokoshi, kami menaiki Chairlift hingga ke pertengahan trek Gunung Tsurugi.

 
Pengunjung mempunyai pilihan untuk ke puncak Gunung Tsurugi, samada mendaki dari Minokoshi hingga ke puncak atau menaiki Chairlift berbayar hingga pertengahan jalur di ketinggian 1750 mdpl dan melanjutkan baki perjalanan hingga ke puncak dengan mendaki. Kami memilih pilihan kedua memandangkan kami mengejar masa. Menaiki Chairlift sekitar 15 minit hingga ke stesen atas 1750 mdpl, kami kemudian memulakan trekking sekitar jam 11:40 pagi.





Gunung Tsurugi merupakan gunung kedua tinggi di Pulau Shikoku. Jalur menuju puncak memapar pemandangan yang sangat indah pada penglihatan saya. Semasa kami mendaki pada awal November 2024, daun-daun kuning kemerahan sudah mula gugur dari pohon. Kami mendaki secara santai sekitar sejam untuk sampai ke puncak Gunung Tsurugi di ketinggian 1955 mdpl.




Kami berhenti beberapa kali sepanjang pendakian. Sambil merehatkan badan, kami merakam gambar di jalur yang cantik ini. Seperti biasa, Negara Jepun mengekalkan jalur gunung yang bersih dan terjaga. Gunung Tsurugi termasuk dalam senarai 100 puncak gunung terkenal di Jepun 





Sampai di atas, terdapat pondok, warong, tandas dan jalur pelantar papan mengambil alih hingga ke papan tanda Puncak Gunung Tsurugi. Puncaknya yang luas seperti padang memberi peluang pendaki berehat semahunya di merata tempat dengan selesa. Tambahan pula setiap sudut memaparkan pemandangan indah.



Kami sampai ke puncak Gunung Tsurugi setelah hampir sejam mendaki secara santai. Di puncak terbuka ini kami melihat pemandangan 360 darjah. Bangku-bangku kayu dibina untuk pendaki berehat sambil menikmati pemandangan indah ciptaan Maha Pencipta sambil disapa angin yang nyaman. Terdapat papan tanda yang menunjukkan hala menuju puncak-puncak lain di Banjaran Shikoku Mountain ini. 




Keterujaan saya untuk mendaki ke puncak-puncak lain melonjak setelah sampai di puncak Gunung Tsurugi. Sayup-sayup kelihatan jalur membelah padang rumput menghala ke puncak-puncak lain di Banjaran Shikoku Mountain ini. Namun memandangkan masa yang terhad keinginan itu menimbulkan azam jika ada rezeki untuk datang lagi di masa akan datang.


Tidak berlama-lama berehat di atas kami bergerak turun kerana mengejar jadual bas kedua dari Minokoshi ke Kubo pada jam 14:45 petang. Kami melangkah turun hingga ke stesen Chairlift seperti kami datang tadi. Sampai stesen bawah Chairlift, kami menunaikan solat di kawasan tapak parkir yang agak tersorok memandangkan tidak terdapat surau di kaki gunung ini.





Setelah menaiki bas dari Minokoshi ke Kubo, kami kemudian meneruskan perjalanan menaiki bas dari Kubo ke Oboke seterusnya menaiki keretapi dari Oboke ke Bandar Kochi melalui cara yang sama kami datang tadi. Kerana kesuntukan masa dan masalah kenderaan awam yang terhad, tujuan asal saya ke Iya Valley tidak tertunai antaranya singgah di Iya Onsen, Statue of peeing boy dan jambatan akar Iya Kazurabashi yang terletak di antara Oboke ke Kubo. Manakala dari Kubo ke Minokoshi, kami juga tidak berpeluang singgah di jambatan gantung Oku-Iya dan Nagoro Scarecrow Village, sebuah kampung yang di penuhi patung-patung orang menggantikan penduduk asal yang berkurangan kerana berhijrah ke bandar-bandar besar seperti Tokyo. Walaupun saya sedikit seram semasa pemandu bas memberitahu kami sampai di Nagoro Scarecrow Village dan beberapa penumpang turun untuk melakukan aktiviti mendaki di kampung bergunung ganang ini. Saya jugak berharap untuk datang trekking di sini jika ada rezeki di masa akan datang. Mungkin masa itu saya akan mendaki Gunung Miune yang bermula di Nagoro Village ini. Kunci perjalanan jika ingin menerokai Pulau Shikoku adalah menyewa kereta pandu sendiri. Harap boleh datang lagi ke Pulau Shikoku. Terima kasih Allah. 

Khamis, 12 Disember 2024

Trekking di Nakatsu Gorge di Pulau Shikoku


Hari ketiga percutian saya dan seorang teman di Jepun, kami berdua merancang trekking di Nakatsu Gorge. Inilah tujuan utama saya ke Pulau Shikuko. Dari pembacaan saya, perjalanan ke Jurang Nakatsu ini dari bandar Kochi agak jauh dari jalur keretapi. Kami perlu menaiki keretapi dari JR Kochi Station ke JR Sakawa Station sekitar 1 jam, kemudian meneruskan perjalanan dari Sakawa menaiki bas Kuroiwa Sightseeing ke Kawado dan berhenti di Nanokawa di pertengahan jalan.



Pagi itu kami menaiki keretapi dari Kochi menuju ke Sakawa Station. Kami sampai di Sakawa sekitar jam 8:30 pagi dan terlepas bas awal ke Kawado. Jadual bas berikutnya pada jam 10:50 pagi dan pada pendapat saya agak lewat. Kami berdua sepakat mengambil teksi dan tambang teksi agak mahal untuk perjalanan sejauh 27 kilometer ke pintu masuk Nakatsu Gorge iaitu 8000 Yen sehala. Kami sampai di pintu masuk Jurang Nakatsu sekitar jam 9:00 pagi. Terdapat tapak pakir, tandas dan kedai di sini. Terdapat juga beberapa buah penginapan jika pengunjung  ingin bermalam di sini. Masuk trekking di Jurang Nakatsu ini percuma.



Kami memulakan trekking di Jurang Nakatsu ini sekitar jam 09:20 pagi. Trek di Jurang Nakatsu ini sepanjang sekitar 2.3 kilometer dan boleh diselesaikan sekitar kurang dua jam secara santai.



Seperti biasa, trek di Jepun dijaga rapi dan bersih. Pengunjung tidak dibenarkan mandi dan berenang di Sungai Nakatsu yang jernih dan sejuk ini. Kami trekking secara santai sambil merakam gambar di setiap perhentian. Sepanjang trek di Jurang Nakatsu ini terdapat tujuh patung yang diletakkan di tempat-tempat tertentu antara nampak dan sedikit tersorok.





Trek di Jurang Nakatsu dibina sepanjang 2.3 kilometer di sisi Sungai Nakatsu. Sekali sekala trek dibina akan menyeberangi sungai melalui pelantar bersimen bersaiz kecil namun masih selesa dan selamat dilalui.





Terdapat beberapa jurang yang menarik di sekitar sungai di Pulau Shikoku ini selain Nakatsu seperti Yasui Gorge. Kami tidak dapat membuat semua trekking kerana masalah perjalanan yang agak jauh dan perkhidmatan pengangkutan awam yang terhad dan terbatas. Sebaiknya jika bercuti ke Pulau Shikoku gunalah kereta sewa pandu sendiri untuk memudahkan perjalanan dan pergerakan.




Setelah berhenti di banyak spot yang menarik untuk merakam gambar, kami sampai di dua persimpangan. Kami terus berjalan ke arah kanan jalur menuju ke Air Terjun Uryu No Taki. Air terjun setinggi 20 meter ini merupakan simbol Nakatsu Gorge. Kebiasannya, pengunjung mengakhiri trekking di Air Terjun Uryu No Taki ini dan berpatah balik ke pintu masuk melalui jalur yang sama.



Kemudian kami berpatah balik ke persimpangan dan meneruskan trekking melalui jalur di sebelah kiri pula. Jalur di sebelah kiri membawa kami ke Observation Deck, Ryugibuchi dan Stone Pillar.



Kami tidak berlama-lama di Observation Deck kerana tidak jelas pemandangan yang dapat kami lihat. Kemudian kami terus berjalan ke jalur sebelah kanan menuju ke Ryugubuchi. Terdapat jambatan dan air terjun di Ryugubuchi. Beberapa spot tersorok dilapangkan sedikit di celah-celah pokok untuk pengunjung merakam pemandangan air terjun yang menjunam ke Sungai Nakatsu ini.



Kemudian kami berpatah balik ke simpang dan meneruskan berjalan ke sebelah kiri menuju ke Stone Pillar. Sekitar 10 minit trekking kami sampai di pelantar kayu Stone Pillar. Kami tidak turun ke bawah dan cuma merakam gambar air mengalir di jurang berdinding batu yang tinggi dari jambatan kayu yang merintangi sungai. Kami juga tidak nampak trek ke bawah.



Kemudian kami kembali ke pintu masuk Nakatsu Gorge berjalan kaki melalui jalan raya di atas Stone Pillar. Sampai di kedai kawasan pintu masuk, kami bertanya kepada peniaga tersebut untuk menaiki bas pulang ke Sakawa Station. Menurutnya kami perlu berjalan ke hentian bas di jalan besar di bawah. 





Kami menunggu bas agak lama sekitar sejam dan nasib kami baik apabila ada sebuah teksi menghantar penumpang ke Nakatsu Gorge. Kami kemudian menaiki teksi tersebut untuk ke Sakawa Station dan meneruskan perjalanan pulang ke bandar Kochi menaik keretapi. Terima kasih Allah.