Isnin, 27 Mac 2017

Kedai makanan halal di Chiang Mai


     Perkara pertama jika saya bercuti keluar negara terutama ke negara yang bukan agama rasminya adalah agama Islam, mestilah menempah hotel yang berdekatan dengan masjid untuk memudahkan saya mencari makanan halal. Begitu juga bila saya ke Chiang Mai. Saya menginap berdekatan Night Bazaar di Chiang Mai. Jika kita berjalan di Night Bazaar hingga berjumpa pintu gerbang yang bertulis Halal Street Hilal Town, di sini terdapat beberapa kedai makanan halal. Terdapat Masjid Hidayatul Islam di kiri lorong ini.






      Pada malam jumaat pula terdapat pasar malam di hadapan Masjid Hidayatul Islam Banhaw di Halal Street ini. Beberapa gerai makanan halal yang diusahakan oleh peniaga muslim, menjual berbagai jenis makanan tempatan.



      Terus berjalan di Night Bazaar, kita akan berjumpa Kalare Night Bazaar. Di sini terdapat Food Center dan ada beberapa gerai makanan halal. Terdapat juga sebuah restoran halal iaitu Babylonian Restaurant di Kalare Night Bazaar ini.









     Gerai makanan halal juga terdapat di Anusarn Night Bazzar. Di sini kedai makan agak bersih dan suasana agak meriah. Harga makanan juga agak sedikit mahal dari kedai makan di Halal Street.










      Berjalan di sekitar Night Bazzar pula akan jumpa banyak gerai yang menjual pancake dan banana roti. Terdapat banyak gerai pancake di sekitar bandar Chiang Mai, terutama di Saturday Market dan Sunday Market yang beroperasi setiap hari sabtu dan ahad dari jam 5:00 petang hingga tengah malam.



 
     Sekiranya kita melawat Wat Phra That di Doi Suthep iaitu wat di atas bukit yang terletak sekitar 40 minit menaiki kenderaan dari bandar Chiang Mai, terdapat deretan kedai yang menjual cenderamata, pakaian, buah-buahan, makanan dan minuman di hadapan Wat tersebut. Terdapat sebuah kedai muslim yang menjual gorengan seperti Popia, Nagget, fishball, sosej dan sebagainya di salah satu gerai di deretan kedai tersebut.


    Jika anda bercadang ke Ang Khang, tanah tinggi yang kaya dengan tanaman buah-buahan, sayuran dan taman bunga yang cantik, memang saya tidak jumpa kedai makanan halal di sana. Namun kami merasai nikmatnya makan keledaek bakar yang manis, jagung bakar yang wangi, buah strawbery dan limau juga mudah didapati sepanjang jalan.





        Saya menginap di salah sebuah guest house di Loy Kroh Road berhampiran Night Bazzar dan di sini juga terdapat sebuah kedai makanan halal.


      Di pusat membeli belah di Center Festival yang merupakan antara shopping kompleks terbesar di Chiang Mai, juga terdapat sebuah "stall" makanan halal di food court. Stall "Mama's Kitchen" menghidangkan makan tempatan seperti nasi putih, tomyam, laksa dan berbagai lagi mengikut selera tempatan.



       Sememangnya Thailand  terkenal dengan makanan yang enak dan menyelerakan. Namun jika sukar menjumpai kedai makanan halal ketika berlibur di Thailand, pelancong muslim masih mudah mendapatkan makanan kerana negara tersebut merupakan negara subur dengan hasil buah-buahan dan harganya pula yang agak murah. Ke mana sahaja kita pergi di Thailand, pasti ada gerai yang menjual buah-buahan.




      Jika ke Thailand jangan lupa mencuba pulut mangga atau "sticky manggo" yang sangat enak dan popular di negara gajah putih itu.



       Selain tempatnya yang menarik dan unik, Chiang Mai juga memikat pelancong dengan makanan dan 'Thai Massagenya' yang mengasyikkan. Saya pasti ke sini lagi. Alhamdullillah dan terima kasih Allah.


Tiada ulasan: