Memang saya amat teringin menjejakkan kaki ke Grand Canyon di Amarika tetapi masih tiada rezeki untuk ke sana, jadi sekiranya saya bercuti ke mana-mana negara yang mempunyai canyon ataupun gaung, saya akan mengambil peluang melawati tempat tersebut. Jadi semasa saya bercuti ke Chiang Mai pada awal March 2017, saya mengambil kesempatan untuk ke Pha Chor Canyon di Mae Wang National Park di wilayah Chiang Mai, Thailand.
Tiada kenderaan awam untuk ke sini dari bandar Chiang Mai. Jadi setibanya saya dan seorang teman ke Chiang Mai dengan menaiki keretapi malam dari Bangkok, kami terus ke Guest House dan setelah berehat sebentar, kami terus ke sini dengan menyewa sebuah motorsikal. Perjalanan ke sini mengambil masa sekitar 1 jam 10 minit berpandukan arah yang ditunjukkan waze. Setelah sejam setengah kami sampai di pintu masuk ke Pha Chor Canyon tetapi pengawal di pintu masuk itu mengatakan jalan ke Pha Chor Canyon sedang dibaik pulih dan dia menyuruh kami berpatah balik sekitar tiga kilometer dan mengikuti simpang ke kiri untuk ke pintu masuk kedua Pha Chor Canyon. Akhirnya setelah bertanya di kedai runcit tepi jalan untuk kepastian, kami sampai di pintu masuk kedua Pha Chor Canyon.
Di pintu masuk kedua kami membayar ticket masuk ke Pha Chor Canyon sebanyak THB 100 seorang dan THB 20 untuk sebuah motorsikal. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan sejauh lima kilometer melalui jalan tanah merah. Jika melalui pintu pertama, kami cuma perlu melalui jarak tiga kilometer sahaja untuk ke Pha Chor Canyon dari pintu masuk, malangnya jalan di sebelah sana sedang dinaik taraf. Akhirnya kami sampai di tapak parking untuk ke Pha Chor Canyon. Terdapat tandas dan sebuah cafe yang menjual makanan ringan dan minuman. Kami rehat dan minum sebentar di cafe sebelum ke Pha Chor Canyon dan dari cafe ke Pha Chor jaraknya cuma 400 meter.
Dari cafe, kami menuruni tangga dan trek terjaga rapi. Sampai di bawah,kami melalui jalur yang rata. Kami menyusuri jalur tanah merah berpasir sehingga ke tangga naik ke atas yang dibina.
Setelah mendaki tangga, terdapat pondok untuk berehat dan berteduh. Berjalan sekitar 30 meter dari pondok rehat, kami sampai "view point" dan kami nampak Pha Chor Canyon di bawah.
Pha Chor Canyon terbentuk dari Sungai Ping yang mengubah haluan alirannya lalu membentuk bukit ratusan atau mungkin ribuan tahun dahulu. Tahun demi tahun, hakisan angin dan hujan berlaku dan bukit tersebut runtuh, lalu terbentuk tebing curam dari pasir berbatu yang menegak. Tebing curam setinggi 30 meter dari pasir batu berwarna merah keperangan tersebut di kelilingi hutan dan pokok.
Setelah berehat dan merakam gambar kenangan di sini kami kembali ke cafe melalui haluan yang berlainan sehingga ke tangga kerana jalur dari bawah tangga ke canyon dibina sehala. Namun jarak perjalanan masih sama. Mungkin saya akan ke sini lagi jika bercuti ke Chiang Mai di masa akan datang. Terima kasih ALLAH.
Nota:
1- Pha Chor Canyon terletak di Taman Negara Mae Wang National Park di wilayah Chiang Mai.
2- Ticket masuk adalah 100 THB seorang dan motosikal 20 THB sebuah.
3- Trekking berjarak 400 meter dari cafe atau sekitar 15-20 minit berjalan kaki.
4- Tiada kenderaan awam ke sini.
5- Di buka sepanjang tahun.
6- Tiada guide diperlukan untuk kesini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan