Isnin, 7 Februari 2022

Mendaki Gunung Duri Cameron Highland


Kami memulakan pendakian agak lewat sekitar jam 11: 00 pagi. Menurut guide yang membantu kami menuju puncak Gunung Duri ini, pendakian agak mudah dan dia melabelkan gunung ini sebagai pendakian "warm up" setelah lama berehat. Saya dan empat kawan, seorang  guide dan seorang porter ke Gunung ini pada hujung January 2022. Memandangkan kami ingin bermalam di puncak sambil berehat- rehat, kami meminta pakage sekali makan sepanjang pendakian 2 hari 1 malam. Jalur pendakian bermula dari SJK (T) Ladang SHUM YIP LEONG.


Kami memakir kenderaan di dalam pagar kawasan sekolah dan bayaran pakir sebuah kereta adalah RM10 sehari. Kemudian kami menyusuri trek mini tar di sisi kiri sekolah tersebut sehingga memasuki kawasan penternakan kuda. Kami berhenti sebentar sambil merakam gambar semasa melintasi kawasan penternakkan kuda ini. Kemudian kami meneruskan pendakian dan menyusuri kawasan penanaman bunga Kekwa. Sayangnya ketika ini bunga Kekwa masih kecil dan belum berbunga.


                                      
Selepas melalui kawasan kebun bunga Kekwa, trek agak semak. Kami bernasib baik kerana seminggu sebelum ini ada kumpulan yang mendaki ke Gunung Duri, maka laluan di kawasan paku pakis telah dirintis dan memudahkan pendakian kami. 




Trek ke Gunung Duri kadang kala menaik namun banyak jalur yang mendatar. Jalur agak redup kerana di dalam hutan dengan udara yang nyaman kerana kedudukkannya di Tanah Tinggi Cameron. Kami mendaki secara santai dan berehat beberapa kali di sepanjang pendakian. Semakin menghampiri puncak, trek berlumut semakin jelas dan agak lebat. Kadang kala kami melintasi batu penanda sempadan Negeri Perak dan Negeri Pahang. 






Akhirnya kami sampai di puncak Gunung Duri 1530 mdpl pada jam 15:15 petang. Di puncak Gunung Duri terdapat beirut penanda ketinggian. Kawasan melihat pemandangan agak terhad kerana dikelilingi hutan. Petang itu setelah menegakkan tempat untuk berehat dan berteduh, hujan turun agak lebat.




Keesokkan paginya kami merakam pemandangan matahari terbit dari puncak Gunung Duri. Kami kemudian bergerak turun pada jam 11:20 pagi dan sampai di kawasan pakir sekitar jam 15:00 petang setelah berehat sekitar sejam dalam perjalanan turun. Kebiasaannya pendakian ke Gunung Duri dilakukan naik dan turun dalam masa sehari.

Nota:
1- Guide YoYo 013 5179192
2- Pakir RM10 sebuah kereta sehari di dalam pagar sekolah SJK (T) LADANG SHUM YIP LEONG.


Tiada ulasan: