Ini antara trans yang mempunyai jalur agak ringan yang pernah saya lalui. Mendaki Gunung Gandik dan sekaligus menyusuri Trans Gandik memberi bonus dua lagi puncak iaitu puncak Gunung Tanggung dan Gunung Bunting. Saya bersama lima orang teman dan seorang guide mendaki ke Trans Gandik ini pada akhir January 2022. Kami memakir kenderaan di sebelah kawasan apartment di Taman Ringlet di mana jalur pendakian itu bermula.
Setelah semua bersedia, kami memulakan pendakian sekitar jam 11:00 pagi. Trek sedikit menaik sehingga ke kawasan perkebunan sayur. Kemudian memasuki hutan sehingga ke kawasan terbuka pembinaan pencawang TNB. Kemudian kami meneruskan pendakian memasuki hutan sehingga bertemu sebuah pondok untuk pendaki berehat. Jalur di Trans Gandik ini berada di sempadan negeri Perak dan Pahang, kadang kala kami menemui batu sempadan dua buah negeri ini.
Di sini adalah persimpangan antara Gunung Gandik dan Gunung Tanggung. Kami berehat sekitar 20 minit dan kemudian meneruskan pendakian ke Gunung Gandik. Kami sampai ke puncak Gunung Gandik 1327 mdpl pada jam 12:50 tengahari. Kami berehat sekitar 15 minit di puncak ini, merakam gambar dan kemudian berpatah balik ke pondok persimpangan ke Gunung Tanggung.
Sampai di pondok antara persimpangan jalur, kami meninggalkan beg galas sebentar untuk ke puncak Gunung Tanggung. Kurang lima minit menyusuri jalur kami sampai di papan penanda Gunung Tanggung yang berada di ketinggian 1159 mdpl. Kami tidak berlama-lama di sini, selesai merakam beberapa keping gambar kenangan, kami berpatah balik ke pondok dan mengambil beg galas untuk terus turun menuju ke simpang jalur ke Gunung Bunting.
Kami sampai di puncak Gunung Bunting yang berketinggian 1127 mdpl pada jam 14:20 petang. Dari puncak yang separuh terbuka ini kami melihat puncak Gunung Beluat, Gunung Chantek Chentuk dan beberapa gunung lain. Kami berehat agak lama di puncak ini sambil menikmati kopi panas. Kami kemudian sampai semula di tapak pakir sekitar jam 15:30 petang.
1- Guide Ady 016 2437516
2- Tapak pakir percuma, sebelah apartment Taman Ringlet.
3- Tempuh perjalanan sekitar 4 jam naik dan turun secara santai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan