Gunung yang dibuka kepada para pendaki sepanjang tahun ini mempunyai jalur yang agak pacak pada pandangan saya. Pemandangan awan kapet yang menjadi buruan pendaki sering bertandang di sekeliling gunung ini mengamit pendaki memerah keringat di awal pagi untuk menyaksikan cahaya matahari terbit. Saya dan dua orang kawan ditemani seorang guide mendaki ke puncak Gunung Kerunai ini pada awal February 2022. Kami berkhemah di tapak perkhemahan Denai Kabus dan pendakian ke puncak gunung ini kami lakukan waktu pagi secara santai. Menurut Saddam selaku guide, terdapat dua jalur yang sering digunakan untuk ke puncak buat masa sekarang iaitu dari Kampung Pahat dan dari Kampung Tanjung Kekabu. Kami mendaki dari jalur Kampung Tanjung Kekabu pada jam 08:15 pagi. Terdapat empat check point yang harus kami lepasi untuk sampai ke Puncak Gunung Kerunai.
Menyusuri beberapa meter jalan mini tar di hujung Kampung Tanjung Kekabu, kami menyimpang ke jalur kiri memasuki trek tanah merah ke kawasan kebun getah dan hutan. Kemudian jalur pendakian mulai menegak hingga ke puncak. Jalur didominasi trek berbatu dan pasir longgar. Semasa kami mendaki pagi itu, Gunung Kerunai diselimuti kabus yang agak tebal sehingga terbentuk seperti awan. Kami sampai di check point 1 sekitar jam 09:15. Kami mendaki secara santai, sesekali kami berehat sambil merakam gambar dan menyaksikan pemandangan indah kabus yang kelihatan seperti gula kapas dicelah-celah hutan gunung.
Kami sampai di check point 2 pada jam 09:50. Sambil mendaki dan menghayati keindahan hutan yang diselimuti kabus di bawah, kami meneruskan pendakian dan sampai di check point 3 pada jam 10:30 pagi. Pada masa ini kabus yang mengelilingi gunung kerunai semakin nipis disebabkan cahaya matahari yang semakin tegak dan panas.
Kami sampai di check point 4 sekitar jam 11:15 pagi. Setelah memerah tenaga dan keringat, akhirnya kami sampai di Puncak Gunung Kerunai 1000 mdpl pada jam 11:50 pagi. Cuaca ketika itu sungguh cerah dan cuma kami bertiga bersama guide di Puncak Gunung Kerunai pada hari itu kerana kami mendaki pada hari bekerja. Kami berehat agak lama di puncak ini sambil memasak air minuman dan makan-makan.
Jam 13:10 petang kami bergerak turun dan sampai di tempat jalur pendakian bermula pada jam 15:40 petang.
Nota:
1-Guide Saddam - 013 6034525
2- Denai Kabus - 019 5476199
3- Pakai kasut yang sesuai dengan laluan jalur berbatu.
4- Bawa bekalan air mencukupi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan