Isnin, 8 Julai 2024

Mendaki Bukit Batu Pahat Kuala Kubu Baru Selangor


Setelah mendaki Gunung Datuk dan Gunung Angsi, kami ke Kuala Kubu Baru, berehat di Ana Man Campside. Kami sempat mendaki Bukit Batu Pahat pada hari kedua kami di sini. Beberapa orang teman bersetuju menyertai kami beberapa minggu sebelumnya dan urusan permit pendakian kami serahkan pada Ana Man. Kami berkumpul di Restaurant Fazlina Maju di Kuala Kubu Baru pada hari mendaki jam 08:30 pagi.

Setelah selesai sarapan, kami bertolak ke kaki Bukit Batu Pahat. Kami merancang mendaki dari jalur Kuil Sri Muneeswarar Veerapathra. Kami memakir kenderaan di bahu jalan berhampiran kuil dan permulaan jalur pendakian terdapat tidak berapa jauh pintu pagar kuil. Dari bawah kami melihat jalur berbatu yang tegak. Menurut seorang teman yang pernah mendaki dari jalur ini, keseluruhan trek adalah pacak tetapi redup.


Kami memulakan pendakian sekitar jam 09:25 pagi. Trek pendakian jelas, redup dan bertanda. Di setengah bahagian trek terdapat tali untuk berpaut. Sepanjang pendakian kami kerap berhenti untuk berehat dan bercerita memandangkan kami telah lama tidak berjumpa. Sejam mendaki kami sampai di Batu Baji. Kami berhenti lagi untuk merakam gambar. 






Berehat sekitar 10 minit kami kemudian meneruskan pendakian dan sampai di spot Batu Belah. Kami berehat lagi di Batu Belah sambil menyaksikan panorama dari atas bongkah batu besar yang kelihatan terbelah dua ini. Dari atas batu belah ini kami dapat melihat pemandangan di bawah. 



Kemudian kami meneruskan pendakian ke puncak. Jam 11:30 pagi kami sampai di puncak Bukit Batu Pahat 430 mdpl. Kami merakam gambar di puncak bukit yang yang juga terkenal dengan aktiviti paragliding.





Kami kemudian bergerak turun melalui jalur yang boleh dilalui kenderaan pancuan 4 roda. Akhirnya kami sampai di pintu masuk  Taman Luncur Udara Kuala Kubu Baru dan menaiki kendaran yang kami tumpang untuk kembali ke kaki bukit jalur kuil di mana kenderaan kami dipakir. 


Kami kemudian kembali ke Ana Man campside untuk menghabiskan cuti. Saya berharap kami akan kerap lagi berkumpul bersama dan mendaki bukit-bukit rendah sesuai tenaga yang semakin lemah kerana usia yang semakin meningkat.




Nota:
Mendaki Bukit Batu Pahat memerlukan permit dari Jabatan Hutan Kuala Kubu. 
Contack Ana Man Campside: +60 196647069



Tiada ulasan: