Khamis, 15 Ogos 2024

Berkunjung ke Masjid Raya Sultan Riau



Tujuan saya berkunjung ke Pulau Penyengat semasa bercuti di Kepulauan Riau adalah kerana ingin melawat Masjid Raya Sultan Riau ini. Semasa saya dan seorang teman bercuti di Pulau Batam dan Pulau Bintan pada penghujung bulan July 2024, saya selitkan jadual lawatan ke sini. 




Kami bermalam di Tanjung Pinang Pulau Bintan semasa bercuti di Kepulauan Riau ini. Semasa berkunjung ke Pulau Penyengat, kami ditemani pemandu kereta yang kami sewa sepanjang percutian. Dia membawa kami ke dermaga Penyengat. Dari sana kami menaiki bot tambang ke Pulau Penyengat sekitar 15 minit dengan bayaran 7 ribu Rupiah seorang. 


Dari dalam bot saya dapat melihat Masjid Raya Sultan Riau yang berwarna kuning dan hijau ini dengan jelas. Sesampai di jetty Pulau Penyengat, kami berjalan menghala ke masjid sekitar 100 meter. Kami disambut mesra oleh seorang penjaga masjid. Dia juga menceritakan serba sedikit sejarah masjid yang mula didirikan semasa pembukaan Pulau Penyengat ini. Masjid ini dibaik pulih berperingkat-peringkat dan sempurna siap sekitar tahun 1832 secara gotong-royong. 



Menariknya, masjid yang didirikan secara gotong-royong dari berbagai tenaga kerja dari dalam dan luar Pulau Penyengat ini mengguna putih telor sebagai pelekat. Gabungan pasir, tanah liat, kapur dan putih telor menggantikan simen ini berjaya mendirikan masjid yang kukuh binaannya hingga kini. 




Masjid ini dibina dan direka bentuk dengan angka-angka simbolik. Dia mempunyai 13 kubah dan 4 menara dan jika digabungkan menjadi 17, sama jumlah rakaat solat sehari semalam. Terdapat 13 anak tangga melambangkan 13 rukun solat, 5 pintu melambangkan rukun islam dan 6 tingkap pula umpama 6 rukun iman. Di dalam masjid terdapat Al-quran tulisan tangan anak tempatan Pulau Penyengat yang dihantar belajar ke Istanbul Turkey pada tahun 1867. Dicat dengan warna kuning lambang raja dan hijau lambang Islam. 



Di belakang masjid terdapat kawasan perkuburan dan antaranya adalah kubur tenaga sukarelawan pembina Masjid Raya Sultan Riau ini. Terdapat juga kubur para wali di Pulau Penyengat ini dan jika kita ingin menziarah ke makam tersebut atau ingin menggelilingi Pulau Penyengat, kita boleh menyewa kenderaan sewa yang tersedia di hadapan masjid dengan bayaran tertentu. 



Saya berharap akan berkunjung ke Kepulauan Riau lagi di masa akan datang untuk melawat pulau-pulau lain yang mempunyai penduduk yang bertutur bahasa melayu walaupun mereka ada bahagian Indonesia. Terima kasih Allah.

Nota: Pemandu kereta sewa Pulau Bintan, Syukri: +62 83137845423 (rekomen). 

Tiada ulasan: