Isnin, 26 Ogos 2024

Bercuti di Pulau Bintan Indonesia


Saya bersama seorang teman bercuti di Kepulauan Riau Indonesia ini pada akhir July 2024. Kami bercadang ke Pulau Batam, Pulau Bintan dan Pulau Penyengat di Kepulauan Riau ini. Kami berdua memulakan perjalanan dari Jetty Stulang Johor menaiki ferry ke Harbour Bay Pulau Batam. Perjalanan mengambil masa kurang lebih 2 jam. Untuk menjimatkan belanja, kami membeli tiket ferry pergi dan pulang 'open tiket'. Sesampai di Jetty Harbour Bay, kami menaiki teksi ke Jetty Telaga Punggur untuk ke Pulau Bintan. Perjalanan menaiki ferry dari Telaga Punggur ke jetty Tanjung Pinang Pulau Bintan mengambil masa kurang lebih 1 jam. Di Pulau Bintan kami menginap di Sunset Curly Bay Resort selama 4 hari 3 malam. 



Setelah makan tengahari, kami berehat dan lewat petang itu kami keluar bersiar-siar di  jajaran gerai sepanjang jalan tepi laut berdekatan resort. Sepanjang bercuti di Pulau Bintan kami menyewa kenderaan beserta pemandu. Hari kedua di Pulau Bintan kami memulakan lawatan ke Danau Biru dan Gurun Pasir Bintan. Dalam perjalanan ke sana kami singgah sebentar di Taman Tugu Pensil. 



Di Taman Tugu Pensil terdapat coretan Gurindam Dua Belas, karangan Raja Ali Haji, pahlawan dan sastrawan Indonesia di Kepulauan Riau. Gurindam dua belas merupakan pesanan Raja Ali Haji tentang jati diri, maruah dan tanggung jawap terhadap kehidupan manusia. 

Kemudian kami singgah sebentar di Taman Gurindam 12 dan Gedung Gonggong.  Terdapat bangunan berbentuk siput, kawasan permainan dan dataran. Kami tidak berlama-lama di sana dan meneruskan perjalanan ke Gurun Pasir Bintan.



 
Gurun Pasir dan Danau Biru terletak bersebelahan. Masuk ke sini dikenakan bayaran IDR30 ribu seorang. Gurun Pasir merupakan kawasan bekas lombong pasir yang telah ditinggalkan setelah operasi melombong pasir berakhir. Dikatakan pasir ini telah dijual ke Negara Singapura. Terdapat beberapa kawasan lombong pasir di Pulau Bintan dan bekas lombong yang kami kunjungi ini telah dibangunkan sebagai kawasan pelancongan.  



 
Terdapat gerai minuman dan makanan di kawasan ini untuk pengunjung menjamu selera manakala beberapa pelantar dan pondok sedang dibina untuk tempat pelancong merakam gambar. Terdapat juga penternak burung helang yang menawarkan burung peliharaan mereka untuk pelancong bergambar.





Kemudian kami ke Lagoi Bay. Dalam perjalanan ke sana kami singgah di Danau Lagoi Bay. Kawasan Tasik Lagoi ini dijaga dengan baik, padang rumput menghijau dan air tasik bersih jernih. Terdapat beberapa patung pahlawan dan susuk pemimpin hebat zaman dahulu termasuk Panglima Hang Tuah di pinggir tasik ini.

 
Kemudian kami meneruskan lawatan ke Pantai Lagoi Bay. Kawasan Telok Lagoi ini dibina hotel-hotel dan penginapan mewah. Sekadar bergambar di sini kami kemudian bergerak ke Gunung Bintan.


Kami meneruskan perjalanan ke kaki Gunung Bintan. Kami bercadang mendaki Gunung Bintan petang itu. Kami sampai di masjid kaki Gunung Bintan sekitar jam 15:30 petang. Setelah menukar pakaian kami mula mendaki anak-anak tangga Gunung Bintan sekitar jam 15:50 petang. Setelah 10 minit mendaki anak tangga, kami sampai di Air Terjun Gunung Bintan. Pada masa itu cuaca agak panas setelah seminggu lebih hujan tak turun dan air terjun di sini tidak mengalir seperti selalu. Jalur ke puncak Gunung Bintan terletak di sebelah kiri air terjun. Disebabkan cuma kami berdua yang mendaki ke Gunung Bintan petang itu, tambahan pula kami memulakan pendakian agak lewat, kami membatalkan hasrat ke puncak kerana bimbang masa turun nanti gelap dan kami tidak membawa kelengkapan jika berlaku musibah. Petang itu setelah makan, kami terus pulang ke penginapan.




Hari kedua kami mula memulakan perjalanan sekitar jam 8:00 pagi. Setelah singgah sarapan kami menuju ke Dermaga Pulau Penyengat. Tambang bot menyeberang ke Pulau Penyengat IDR 7 ribu seorang dan mengambil masa sekitar 15 minit untuk sampai ke Pulau Penyengat.


Sampai di Jetty Pulau Penyengat, kami terus ke Masjid Raya Sultan Riau iaitu tujuan pertama kami ke sini. Di sana kami di sambut mesra oleh penjaga masjid tersebut dan dia bercerita tentang Masjid Raya Sultan Riau yang juga dikenali sebagai masjid telur kerana antara bahan binaan masjid ini adalah putih telur.



Terdapat deretan kedai menjual cenderamata, makanan dan minuman dari jetty ke Masjid Raya Sultan Riau termasuk menjual tanjak yang merupakan kelengkapan pakaian masyarakat Melayu dahulu. Setelah melawat Pulau Penyengat, kami kembali ke Pulau Bintan untuk meneruskan perjalanan. Disebabkan semalam kami gagal ke Puncak Gunung Bintan, hari ini pemandu kami berbesar hati membawa kami ke Gunung Lengkuas. Memandangkan dia bukanlah seorang pendaki, maka kami bersama mencari starting point Gunung Lengkuas. Akhirnya setelah bertanya pada penduduk setempat kami memulakan pendakian ke Gunung Lengkuas. Namun kami cuma sampai di Air Terjun Gunung Lengkuas kerana jalur ke puncak tidak jelas.





Kemudian kami ke Danau Biru yang juga merupakan kawasan bekas lombong pasir yang telah ditinggalkan. Danau Biru ini masih tidak dibangunkan sebagai kawasan pelancongan dan cuma kami bertiga sahaja di sana pada petang itu.





Seterusnya kami singgah di Masjid Raya An-Nur Kawal. Memasuki kawasan masjid, saya terus terbayang pada Masjid Putrajaya Malaysia. Pemandu mengatakan masjid ini dibina dari adaptasi Masjid Putrajaya.


Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Pantai Trikora. Tiada apa yang menarik perhatian kami untuk berlama-lama di sini. 

Akhirnya malam itu kami ke Pulau Dompak. Pulau ini merupakan Pusat Pemerintahan Kepulauan Riau, seperti Putrajaya Malaysia. Kami berhenti merakam gambar di Jambatan Muhamad Sani yang menghubungkan Pulau Dompak dan Kota Tanjung Pinang. Kemudian kami memasuki Pulau Dompak dan merakam beberapa keping gambar di sana.



Hari ke empat kami berangkat ke pulau batam sekitar jam 08:00 pagi. Kami meneruskan percutian kami selama tiga hari di sana. 

Rekomen driver: Syukri:+62 831-3784-5423


Tiada ulasan: