Ahad, 26 April 2026

Mendaki Gunung Bubu di Gerek


Gunung Bubu di Gerek Perak ini saya jejaki bersama sebelas orang teman pada akhir April 2025. Kami berkumpul awal pagi di tempat yang dijanjikan di Gerek. Setelah bertemu dengan dua orang guide, kami dibawa ke Masjid Al- Haruniah Kampung Basia Lama. Kami berehat sebentar di masjid ini sehingga jam 3:30 pagi. Dari sana kami menaiki pacuan empat roda ke kaki Gunung Bubu.


Perjalanan menaiki pacuan empat roda mengambil masa sekitar 20 minit. Sebelum mula mendaki kami diberi sedikit taklimat dan peraturan seperti kebiasaan. Kemudian kami membuat sedikit senaman regangan dan kami memulakan pendakian sekitar jam 4:20 pagi.


Pendakian ke puncak Gunung Bubu mengambil masa sekitar satu jam 30 minit sehingga dua jam. Trek sedikit menegak dan di beberapa bahagian jalur tepi jurang disediakan tali untuk berpaut.



Seperti biasa, saya berjalan di posisi belakang. Kumpulan kami sampai di puncak Gunung Bubu pada jam 6:00 ketika azan subuh berkumandang. Di puncak tiada punca air. Kawasan puncak lebar dan agak rata. Kami menyaksikan kuasa cahaya alam pagi itu secara berjemaah.





Dari puncak kami turun sedikit di jalur sebelah kiri dari jalur kami mendaki tadi. Terdapat hamparan carpet lumut yang tersorok. Kami merakam beberapa keping gambar di kawasan terpelihara ini.


Puncak Gunung Bubu 619mdpl terbuka. Pendaki boleh melihat pemandangan 360 darjah. Namun tarikan semulajadi Gunung Bubu adalah carpet lumut dan awan kapas. Kami menikmati kedua-dua keistimewaan tersebut. Cuaca hari itu sangat baik.





Setelah puas merakam gambar di puncak Gunung Bubu, kami sepakat turun seperti masa yang dicadangkan guide. Kami mulai turun pada jam 08:30 pagi melalui jalur kami naik tadi. Menyusuri kawasan batu yang diselaputi lumut semasa turun, kami mengambil masa merakam gambar. Kami sampai di kaki Gunung Bubu pada jam 10:00 pagi. Sebelum pulang ke destinasi masing-masing kami menjamu selera di Castela Cafe.



Jalur Gunung Bubu tidak sesukar mana. Baik untuk pendaki yang baru memulai aktiviti mendaki mengumpul pengalaman. Terima kasih Guide yang membawa kami naik dan turun dengan selamat. Terima kasih Allah.

Guide: Sadam 013 6034525, Dollah 017 5938422, Basir 011 35274118


Tiada ulasan: