Sabtu, 21 Mei 2016

Stone Forest Kunming


      Orang-orang tua di China pernah berkata "membazir masa ke Kunming jika tidak melawat Stone Forest". Maka dalam perjalanan saya bersama 3 orang teman backpack ke negara China pada May 2006, saya telah pergi ke hutan batu ini. Stone Forest ini terletak 90 km di tenggara Bandaraya Kunming yang merupakan ibu kota Wilayah Yunan. Ini kali pertama saya ke China dan saya merancang perjalanan dari Bangkok menaiki Thai Airline ke Kunming, seterusnya ke Xi'an menaiki China Airline, dari Xi'an ke Beijing menaiki keretapi, dan berakhir di Shanghai juga dengan keretapi dari bandar Beijing.


     Stone Forest telah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO pada tahun 2007. Kami menaiki kereta sewa ke sini dan perjalanan mengambil masa 1 jam 20 minit dari bandaraya Kunming. Sampai di Stone  Forest ini kami mengambil ticket dan menurut guide yang membawa kami, untuk menjelajah keseluruh hutan batu ini memerlukan 2 hari masa melawat. Di sini kami melihat hutan batu stalagmites yang luas menjulang tinggi ke langit. Di taman ini juga ada persembahan rakyat selama sejam.





      Di sini juga kita berpeluang memakai pakaian tradisional masyarakat tempatan. Selepas pulang dari melawat Stone Forest kami sempat melawat Yunan Culture Village, malangnya masa agak terhad kerana kami sampai di Yunan Culture Village agak lewat dan persembahan di sini baru selesai.


Yunan Culture Village
 

      Malam itu sebelum berangkat ke bandar Xian kami singgah makan di restoran muslim di bandar Kunming. Tidak sukar mencari makanan halal di Kunming kerana terdapat masyarakat muslim yang ramai di bandar ini.

Muslim Restoran di Kunming.



     Saya bercadang ke sini lagi jika ada rezeki kerana perjalanan yang singkat ini membataskan peluang saya melihat Kunming yang menarik dan unik ini.


Nota:
1- Rakyat Malaysia memerlukan visa untuk melawat negara China.
2- Ticket masuk ke Stone Forest pada tahun 2016 adalah CNY 175 (tahun 2006 cuma CNY 100).


Rabu, 11 Mei 2016

Gunung kawi Bali


         Gunung Kawi bukanlah gunung yang saya daki di Bali, sebaliknya ia merupakan sebuah candi yang saya lawati di sana. Candi Gunung Kawi terletak sungai Pakerisan di Desa Sebatu, dari Kota Denpasar berjarak 40 km dan mengambil masa 1 jam perjalanan menaiki mobil. Candi Gunung Kawi diambil daripada perkataan Kawi (pahat). Candi ini dibangunkan pada abad ke-11 Masehi dan memiliki sekitar 315 anak tangga. Saya bersama teman-teman ke sini pada February 2013.


         Dari pintu masuk penjualan ticket, kami berjalan kurang lebih 30 minit menyusuri jalan kampung dan sawah padi untuk ke candi ini. Terdapat gerai menjual pakaian dan cenderahati dalam perjalanan ke candi ini. Perjalanan agak meletihkan kepada sesiapa yang tidak biasa membuat senaman. Kami memijak sekitar 315 anak tangga dan berjalan di celah batu gunung yang dipotong sebagai laluan sehingga berjumpa dinding batu gunung yang dipahat rapi.





       Di candi ini terdapat kolam tempat mandi semasa upacara keagamaan. Terdapat juga ruang pertapaan dan pemujaan. 






Nota: 
1- Ticket masuk ke candi Gunung Kawi ini adalah IDR 15 ribu seorang.
2- Kasut sukan dan sandal sesuai untuk ke sini.
3- Bawa air mineral untuk minum kerana tiada jualan minuman di candi ini.


Selasa, 10 Mei 2016

Tegalalang Bali


          Saya dan teman-teman singgah sebentar di desa Tegalalang ini dalam perjalanan kami dari Ubud ke Gunung Kawi. Panorama sawah padi yang ditanam rapi bertingkat-tingkat seperti tangga ini amat indah dam memikat hati kami. Udara nyaman di kampung dengan sawah padi yang menghijau sungguh mendamaikan.


         Tegalalang terletak di utara bandar Ubud, sekitar setengah jam menaiki mobil. Terdapat deretan kedai menjual pakaian, cenderahati, lukisan dan makanan di sepanjang kiri dan kanan jalan di desa Tegalalang ini. Tiada bayaran dikenakan untuk berhenti di spot cantik di sini kecuali bayaran parkir mobil.





     Jangan lupa singgah seketika di sini sekiranya anda ke Pulau Bali. Berehat sambil melihat kehijauan alam Pulau Bali yang terkenal dengan pantai dan candi.




Isnin, 9 Mei 2016

Water Blow Bali

        Setiap kali saya ke Pulau Bali, saya mesti pergi ke Water Blow di Nusa Dua. Berehat di wakaf tepi laut sambil menyaksikan fenomena ombak yang memukul batu karang lalu masuk di celah batu besar dan menyemburkan air ke udara. Melihat air yang meletus dari celah batu memang menyeronokkan umpama menonton pertunjukkan bunga api di malam festival.


       Water Blow terletak di pantai Nusa Dua dan masa sesuai untuk ke sini adalah dari bulan July hingga October semasa musim ombak besar. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke tempat ini dan dari tempat parkir kereta di pantai Nusa Dua kita perlu berjalan kaki sehingga ke pintu batu yang tertulis Water Blow.





       Dari pintu masuk ini kita perlu berjalan kaki mengikut laluan yang telah disediakan sehingga sampai ke tebing batu di mana kita dapat melihat fenomena air laut yang menjulang ke udara semasa ombak besar memukul tebing batu karang. Terdapat wakaf yang dibina untuk pelawat berehat di atas pelantar di tebing batu dan dari di sana kita dapat melihat dengan jelas semburan air laut dari celah batu.









      Saya biasanya menghabiskan masa beberapa jam di sini dan meneruskan lawatan ke tempat lain di pulau unik ini. Jika ke Bali jangan lupa singgah di sini.


Ahad, 8 Mei 2016

Gua Angin dan Gua Clearwater

        Saya dan empat orang teman singgah ke Gua Angin dan Gua Clearwater ini setelah mendaki Gunung Api (Pinnacles). Dalam perjalanan pulang dari Kem 5 ke Mulu Park Head Quarters, kami mengambil kesempatan melawat dua gua yang popular di Taman Negara Gunung Mulu ini. Selain gunung, taman negara ini juga terkenal kerana mempunyai rangkaian gua terpanjang di dunia, seperti Gua Rusa yang merupakan terowong gua paling besar di dunia. Di taman negara ini terletaknya "Serawak Chamber" iaitu ruang bawah tanah terbesar di dunia yang boleh memuatkan 40 buah kapal terbang boeing 747. Gua- gua ini juga merupakan tempat tinggal berjuta-juta kelawar yang keluar setiap petang di waktu senja.


      Sampai di perhentian bot di pintu gua, kami mengikut guide yang memandu arah kami melawat dua gua ini. Setelah mendengar taklimat, kami memasuki Gua Angin mengikut arahan guide yang bertugas.









       Kurang lebih sejam melawat Gua Angin, kami kemudian di bawa melawat Gua Clearwater (Gua Air Jernih), jarak antara 2 gua ini kurang lebih 500 meter. Gua Clearwater merupakan gua terpanjang di Asia Tenggara.




       Selesai melawat Gua Clearwater, sebelum pulang ke Mulu Park, kami tidak melepaskan peluang mandi-manda di airnya yang jernih.






        Selain Gua Angin dan Gua Clearwater, terdapat gua lain yang popular di Taman Negara Gunung Mulu seperti Gua Rusa (Deer Cave), Gua Nasib Bagus dan Gua Banarat. Saya akan ke sini lagi jika ada rezeki dan izin ALLAH. Selain menjelajah gua dan mendaki gunung saya juga bercadang menjejaki "The Headhunters Trail" dan "Melinau Gorge Track" satu hari nanti.


Nota:
1- Pertanyaan? email kepada, enquiries@mulupark.com.
2- Penerbangan MasWing setiap hari dari Miri ke Taman Negara Gunung Mulu.
3- Penerbangan MAS dari Kuching ke Taman Negara Gunung Mulu 3 kali seminggu.
4- Menaiki bot dari Kuala Baram ke Marudi dan seterusnya ke Taman Negara Gunung Mulu (sekitar 12 jam).