Rabu, 3 November 2021

Hiking ke Zi Zai Bukit Lang Penang

 

Saya dan kawan-kawan sekerja berkumpul di pintu masuk Taman Belia yang juga dikenali Botanical Garden Pulau Pinang pada jam 08:00 satu hari di akhir bulan October 2021. Kali ini kami berencana mendaki ke Zi Zai Hill yang menjadi popular sejak akhir- akhir ini. Jumlah kami agak ramai bila bergabung dengan beberapa kumpulan lain memandangkan hari ini cuti hujung minggu. Beberapa orang teman yang pernah ke Zi Zai Hill bertindak sebagai guide dan setelah memberi sedikit taklimat dan mengira jumlah peserta kami memulakan trekking pada jam 08:15 pagi.



Guide memandu kami menyusuri mini tar yang dibina di Taman Belia sehingga kami menyimpang ke jalur kanan memasuki hutan. Trek bertanda dan kami mula mendaki sedikit sehingga bertembung dengan air terjun. Di sini kami berehat sebentar sambil merakam gambar. 



Kemudian kami meneruskan trekking melalui jalur hutan. Perjalanan agak jauh dan kami mula terbahagi kepada beberapa kumpulan mengikut keupayaan stamina masing-masing. Seperti biasa saya berjalan di kumpulan terakhir. Jalur di bukit ini banyak yang menaik namun sesekali menurun dan mempunyai banyak simpang. Sebaiknya mendakilah dengan guide atau kawan yang biasa dengan selok belok bukit ini walaupun trek bertanda.





Kelebihan mendaki di hujung minggu kita akan bertembung atau bersaing dengan kumpulan lain dan boleh bertegur sapa untuk bertanya arah. Kami di kumpulan belakang sampai di satu bukit yang tinggi. Di sini terdapat beberapa pendaki sedang menunggu ahli dari kumpulan mereka. Di puncak bukit ini terdapat beberapa simpang, kami mengikut arah tanda ke kanan manakala kumpulan yang sedia ada ke tujuan yang tidak sama dengan kami. Bukit Lang ini menjadi pertembungan beberapa jalur antaranya jalur dari Tanjung Bungah, Batu Feringgi, Mount Erskin, Taman Belia dan Penang Hill. 




Kami manaiki dan menuruni bukit dan pada jam 12.00 tengahari akhirnya sampai ke destinasi tujuan kami iaitu sebuah rumah tinggal yang besar di atas sebuah bukit. Zi Zai Hill terletak di kawasan Tanjung Bungah dan terdapat sebuah rumah papan yang agak besar di sini. Sebaik sampai kami terus merakam gambar kumpulan dan sejurus kemudiannya hujan mendadak turun. Kami berpusu- pusu naik ke rumah papan tersebut. 






Rumah papan bertangga dan bertiang batu ini sungguh kukuh binaannya sehingga saya tidak merasa sangsi ketika kami yang sekitar 50 orang bergabung kumpulan pendaki lain menumpang teduh di dalamnya. Ia juga dikenali sebagai "rumah hantu" mungkin kerana dibina solo di atas bukit di dalam hutan tanpa penghuni dan jiran. Usia rumah ini mungkin sekitar sekurun. Terdapat angka 1910 di papan tanda namun saya tidak dapat pastikan adakah itu tahun ia didirikan. Rumah papan berwarna perang ini berada di ketinggian 507 mdpl. Rumah yang ditinggalkan ini telah dibaik pulih oleh para sukarelawan dan jawatankuasa keselamatan dan  kesihatan (JKKM)  Tanjung Bungah. Mereka juga telah merintis dan membina semula trek ke "rumah hantu" ini dan ianya secara resmi telah dibuka semula kepada awam pada tanggal 17 April 2016 dan sejak itu trek ke rumah mistery ini menjadi tempat berehat para hikers dan ia semangkin sibuk dikunjungi di hujung minggu dan cuti umum.  Kami berehat agak lama di rumah yang dibina kukuh ini sehingga hujan berhenti. Pada jam 13:10 petang kami bergerak turun melalui jalur kami datang tadi.



Trek turun agak sukar sedikit disebabkan hujan sebentar tadi. Jalur menjadi becak dan licin dan kami terpaksa lebih hati-hari semasa di trek untuk mengelak kemalangan. Kami mendaki semula bukit yang tinggi tadi dan menyusuri jalur yang sama kami datang sehingga sampai di satu persimpangan, guide membawa kumpulan kami ke satu kawasan tepi sungai kerana menurut perancangan, kami akan mandi manda dalam perjalanan turun. Namun kerana hujan dan air sungai keruh, kami meneruskan perjalanan turun setelah menyeberangi sungai melalui titi batu. 




Setelah itu kami meneruskan perjalanan turun melalui jalur yang lain. Kami meneruskan perjalanan melalui trek yang jelas sehingga ke tangga yang dikenali tangga 1500. Saya sedikit "mabuk tangga" semasa melalui anak-anak tangga yang tersusun rapi ini.





Kami akhirnya sampai semula di pintu masuk Taman Belia pada jam 15:30 petang. Saya mungkin ke Zi Zai Hill lagi. Mungkin kali itu saya melalui trek dari Tanjung Bungah yang lebih dekat berbanding dari Taman Belia. 

Nota:
1- Parking kenderaan di Taman Belia percuma. 
2- Guide a) Hamzah - 0194744752, b) Shamsul- 0164963000


Selasa, 19 Oktober 2021

Trekking ke Bukit Intan di Trolak Timur Perak

 

Hampir setahun dibelenggu pergerakan kerana wabak covit, kelonggaran rentas negeri telah dibenarkan. Saya terus pulang ke kampung dan mengambil kesempatan trekking ke Bukit Intan di Trolak Timur ini. Saya bersama seorang teman memandu ke kaki bukit ini dengan mengunakan arah Google Map. Kami sampai di kaki bukit ini pada jam 08:20 pagi pertengahan bulan October 2021 dan memakir kenderaan di sana. Setelah bertanya pada penduduk kampung untuk memastikan arah Bukit Intan, kami memulakan langkah pada jam 08:30 pagi.


Trek ke Bukit Intan menyusuri ladang kelapa sawit yang mempunyai banyak simpang. Di beberapa persimpangan terdapat papan tanda arah, manakala di setengah lorong terdapat plastic jalur merah putih yang diikat di dahan kelapa sawit. Kami banyak kali bertegur sapa dan bertanya arah dengan peladang yang berselisih untuk memastikan arah Bukit Intan ini. Trek ke puncak Bukit Intan ini kebanyakannya mendatar cuma terdapat beberapa bahagian yang menaik sedikit.





Kami sampai di puncak Bukit Intan pada jam 09:40 pagi setelah berehat beberapa kali di sepanjang trek. Bukit Intan berada di ketinggian 240 mdpl namun trek ke puncak bukit ini agak ringkas dan mudah. Disebabkan kami ke sini pada hari bekerja, cuma kami berdua sahaja berada di puncak bukit ini. Dikatakan bukit ini agak sebuk di hujung minggu dan cuti umum dengan aktivity Mountain Bike dan Moto Cross selain trekking.




Dikatakan Bukit Intan mendapat nama dari batu yang terdapat di puncaknya. Batu ini sedikit berkilau bila terkena cahaya matahari sehingga di awal terjumpanya batu ini, terdapat beberapa orang penduduk kampung yang mencuba nasib membawa serpihan batu ini kedai untuk menilai jika batu ini mempunyai harga.




Kami berehat hampir sejam di puncak Bukit Intan ini sambil merakam gambar. Terdapat bangku kayu yang dibina oleh penduduk  setempat. Kami kemudiannya turun melalui jalur kami datang tadi pada jam 10:30 pagi dan sampai di tapak pakir pada jam 11:20 pagi. 

Nota:
1-Bukit Intan terletak di Trolak Timur, boleh guna Google map untuk ke kaki bukit.
2-Tiada bayaran dikenakan untuk mendaki bukit ini buat masa sekarang dan parkir percuma.
3-Trek jelas dan bertanya pada peladang yang bekerja di ladang sawit adalah solusi jika was-was.

Ahad, 12 September 2021

Trekking ke Glass House dari Sungai Ara

 

Ada dua jalur popular menuju ke Glass House yang dibina di puncak sebuah bukit di Balik Pulau ini. Pertama yang sering disulusuri oleh pengemar trekking adalah dari Balik Pulau yang mengambil masa sekitar 40 minit hingga sejam secara santai. Satu lagi jalur yang sering menjadi pilihan adalah dari Sungai Ara sekitar sejam setengah hingga dua jam trekking secara santai. Walaupun lebih jauh, namun trekking dari arah ini tidak sesukar mana.


Saya bersama tiga teman memilih trekking ke Rumah Kaca ini dari Sungai Ara pada awal September 2021. Kami memulakan trekking pada jam 8.00 pagi setelah memakir kenderaan di Kawasan Perumahan di Changkat Sungai Ara 20. Di hujung kawasan pakir, kami meyusuri jalan mini tar menghala ke kawasan hutan dan perkebunan buah-buahan.




Jalan mini tar yang dibina di kawasan perkebunan milik persendirian ini juga dilalui oleh para pekebun yang mengusahakan perkebunan mereka, para peminat  Mountain Bike dan terdapat banyak anjing berkeliaran yang ditugaskan menjaga kawasan perkebunan. Trek agak redup dan santai, namun terdapat banyak simpang memandangkan kawasan bukit ini dimiliki oleh ramai pekebun. Eloklah ke sini dengan teman yang sering dan biasa dengan jalur ini untuk mengelak dari tersesat atau tersasar arah.





Menghampiri puncak, kami menyaksikan pemandangan di bawah dengan jelas, bandar Balik Pulau dan laut yang membiru. Cuaca hari itu baik sehingga kami sampai di puncak sekitar jam 10:00 pagi. Terdapat sebuah Glasshouse atau pun Rumah Kaca milik persendirian yang menjadi viral di puncak  bukit ini. Para pengunjung tidak dibenarkan memasuki kawasan Rumah Kaca ini.




Bertentangan arah dari jalur kami datang tadi, terdapat sebatang lagi jalur menuju ke Rumah Kaca ini dan pasti jalur itu dari Balik Pulau yang lebih dekat. Kami berehat agak lama di puncak ini. Menyaksikan pemandangan indah Pulau Pinang dari sisi Balik Pulau. Kami makan bekalan yang kami bawa sambil melihat kawasan yang disimbahi hujan di bawah sana.




Kami bergerak turun sekitar jam 11:15 minit pagi melalui jalur yang sama kami datang tadi dan sampai semula di tapak pakir sekitar jam 12:30 tengahari. Trekking ke Rumah Kaca ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat yang gemar trekking yang santai.


Nota:
Tapak pakir percuma, risiko tanggung sendiri.

Rabu, 14 April 2021

Bercuti dalam rimba di Fig Tree Hill Resort

 

Melangsungkan kehidupan bersama Pandemik Covit yang melanda seluruh dunia, saya dan teman-teman mencari tempat beriadah tanpa melintasi sempadan negeri seperti yang diarah oleh pihak pemerintah. Saya mencadangkan kami berehat sambil berpicnic di Fig Tree Hill Resort Penang. Kedudukkan Resort di dalam rimba dengan berbagai kemudahan dan hiburan ini amatlah sesuai bagi kami yang semakin bosan menjalani hidup bertemankan Covid 19.



Fig Tree Hill Resort terletak di dalam rimba dan jalan ke resort ini agak kecil muat sebuah kenderaan sahaja dalam satu masa. Sekiranya kita bertembung dengan kenderaan bertentangan, sebelah pihak terpaksa mengundur mencari simpang atau ruang untuk berselisih. Jalan mini tar yang tidak berturap baik ini menaik sedikit kerana resort ini terletak di tempat sedikit tinggi dan kenderaan bersaiz kecil atau kenderaan lasak amat sesuai ke sini. Jika ke sini di waktu pagi, pemandu mesti berhati-hati kerana terdapat ramai pendaki beriadah di bukit ini. Bercuti di resort ini seperti bercuti di dalam rimba. Bilik di resort ini dibina besar, boleh memuatkan enam orang. Ia dibina dari kayu menampakkan ciri-ciri mesra alam. Berbagai kemudahan terdapat di dalam setiap penginapan seperti bilik dan bilik air yang bersih, set karoake, perabut, peti ais dan wifi percuma. Kolam mandi pula dikongsi bersama pengunjung bilik lain. Kebiasaannya setiap bilik mempunyai dua buah bilik air.



Bersiar di kawasan resort yang redup kerana dipayungi pohon-pohon besar yang tinggi amat menenangkan. Pelantar kayu yang dibina bagi menghubungkan di antara bilik-bilik di resort ini kelihatan terbiar menampakkan seakan anda berada di rimba sebenar. Keadaan di resort ini seolah seperti anda sedang bercuti di dalam hutan namun hakikatnya resort tetap terjaga.






Malam pula kami penuhi dengan acara BBQ. Penjaga resort akan membantu kita menghidupkan arang untuk membakar. Resort cuma menyediakan sarapan pagi dan pengunjung bertanggungjawap membawa makan sendiri. Namun inilah yang kami suka kerana kami bebas menyediakan menu kegemaran kami di tempat yang tersorok dengan berbagai kemudahan.







Pagi sebelum pulang, kami bersarapan dan bercadang akan ke sini lagi. Selain kedudukkannya yang terletak berdekatan dengan rumah kami, tempat ini juga sesuai untuk teman-teman dan keluarga berkumpul dan bercuti. 


Kami sokong pelancongan Malaysia. Selamat bercuti di dalam negeri.
Pembaca boleh menempah bilik di resort ini melalui:
1- Internet, booking, agoda dan sebagainya
2- Tel no +60193620270