Rabu, 6 Julai 2022

Bercuti di Pulau Lang Tengah Terengganu

 

Rekomen. Kepada pembaca yang ingin bercuti di pulau yang tenang, sunyi dan indah, saya cadangkan anda ke Pulau Lang Tengah ini. Saya dan tiga teman singgah bercuti di Pulau Lang Tengah ini dalam trip mengelilingi Semenanjung Malaysia di akhir bulan June 2022. Kami memilih tinggal di Sari Pacifica Resort & Spa selama 3 hari 2 malam. Kami menaiki boat sekitar 45 minit dari Jety Al-Amin di Merang menuju ke pulau indah ini.


Terdapat beberapa buah resort di pulau ini dan pulau ini tidak dihuni penduduk tempatan. Keadaan dan suasana Pulau Lang Tengah sungguh tenang. Ketibaan kami di jety Sari Pacifica Resort & Spa disambut dengan ribuan ikan kecil dan baby shark.



Petang itu kami hanya bersantai di pantai yang berpasir halus putih. Kami menjelajah batu-batu tepi pantai sambil menyaksikan matahari terbenam. Malamnya pula setelah makan malam kami berehat sepuasnya dengan cara masing-masing. 



Hari kedua selepas sarapan kami bersantai dan berjalan di pantai. Menyaksikan baby shark yang jinak di jety. Melawat Summer Bay Resort di sebelah Resort Sari Pacifica & Spa dan menyusuri jety sambil merakam gambar. 













Di sebelah petang, kami berjalan kaki sekitar lima minit ke belakang resort. Terdapat sebuah warong di sebelah resort yang telah ditinggalkan untuk minum petang. Di warong Dewati ini juga terdapat tapak perkhemahan untuk di sewa sekiranya anda ingin menjimatkan belanja semasa bercuti di Pulau Lang Tengah. Setelah itu kami pulang ke resort dan bermandi di laut dan kolam renang resort.



Di sebelah malam pula makan malam kami adalah bbq bakar sendiri. Setelah makan malam, kami berehat di jety sebelum pulang ke bilik untuk berehat. 



Hari ketiga, saya dan dua orang teman ke Batu Kucing untuk melihat matahari terbit. Kami memulakan trekking agak lewat, sekitar jam 06:55 pagi. Kami bertiga berjalan ke warong Dewati dan menuju ke D'Coconut Resort seperti yang diterangkan oleh pelancong yang kami jumpa semalam. Setelah itu kami menyusuri jalur dan memasuki hutan. Jalur agak jelas dan kami menuju ke kawasan pantai peliharaan penyu. 








Di sana kami berjumpa seorang gadis  sukarelawan yang terlibat dalam pemeliharaan penyu. Dia meminta kami memperlahankan suara kerana kebanyakan temannya baru tidur setelah bertugas di pantai malam tadi. Dia juga menunjukkan kepada kami lorong ke Batu Kucing. Kami kemudian memasuki jalur hutan, mendaki sedikit dan muncul di hujung jalur adalah kawasan Batu Kucing untuk menyaksikan matahari terbit. Kami sampai di Batu Kucing sekitar jam 07:15 pagi ketika matahari telah pun terbit menyimbahkan cahaya merah keemasannya. 








Kami berehat di Batu Kucing ini agak lama. Menyaksikan panorama yang memukau mata sambil merakam gambar. Batu kucing juga merupakan spot snorkling. Setelah puas berehat kami bergerak pulang melalui jalur kami datang tadi. 


Jika bercuti di Pulau Lang Tengah, jangan skip tempat cantik ini. Berjalan ke sini di awal pagi cuma sekitar 20 minit dari Sari Pacifica Resort & Spa.
 
Nota:
1-Bot dari Merang sekitar 45 minit. 
2-Bot Syarikat Al-Amin Rm120 dua hala pergi dan pulang. 
3- Snorkling Rm80 sejam


Selasa, 5 Julai 2022

Melawat pintu gerbang Pulau Mawar

Semasa singgah di Mersing dalam trip mengelilingi Semenanjung Malaysia, saya dan tiga teman mendaki ke puncak Gunung Arong dan kemudian melawat ke pintu gerbang Pulau Mawar. Pulau Mawar berada di hujung Pantai Mawar yang terletak di Mukim Penyabong, Mersing. Setelah berlaku perubahan cuaca dan peralihan masa, Pulau Mawar yang berasingan dengan tanah besar, telah bercantum dengan pantai mawar. Jadi untuk ke sana kita tidak perlu manaiki bot.


Kami memakir kenderaan di hujung pantai bersebelahan pokok-pokok Rhu. Kemudian guide mambawa kami menyusuri tepi pantai sekitar 30 minit. Kami kemudian mendaki sedikit ke dalam hutan dan setiba di atas kami melihat pintu gerbang Pulau Mawar di hadapan kami. Pintu itu agak besar dan setelah berjalan melalui bawah pintu gerbang itu, kami pun sampai di gigi air laut yang berbatu perang. 




Kami mengambil sedikit masa di sini untuk merakam gambar dan berehat. Sebelum pulang kami mendaki ke atas pintu gerbang sebentar. Kami tidak dibenarkan berdiri bersama di atas lengkungan pintu gerbang tersebut kerana bimbang atas faktor keselamatan. Bergambar seorang demi seorang, kami kemudiannya turun dan bergerak pulang.

Nota: Guide Amin 019-6611712


Isnin, 4 Julai 2022

Mendaki Gunung Arong di Mersing


Saya singgah di Mersing dalam percutian mengeliling Semenanjung Malaysia pada June 2022. Kesempatan ini saya isi dengan mendaki Gunung Arong yang popuular di Mersing. Bersama dua orang teman dan dipandu oleh seorang guide kami mula mendaki sekitar jam 08:45 pagi melalui jalur Hutan Taman Negeri Gunung Arong. 


Jalur pendakian menaik sedikit dan agak santai. Di sepanjang jalur ke puncak terdapat beberapa spot untuk berehat. Terdapat bangku kayu dan pangkin untuk melepaskan lelah. Kami mengambil masa sejam untuk sampai ke puncak Gunung Arong yang setinggi 240 mdpl. Di puncak Gunung Arong terdapat menara untuk melihat pemandangan, pelantar kaca, beirut penanda puncak dan batu penanda ketinggian. Semasa kami sampai di puncak, cuaca sangat cerah dan kami melihat pemandangan lautan, pulau dan panorama di bawah dengan jelas. 




Kami berehat dan merakam gambar di puncak Gunung Arong dan kemudian bergerak turun pada jam 10:15 pagi melalui jalur bertentangan kami mendaki tadi. Perjalanan turun agak jauh dan pada jam 11:10 pagi kami sampai di bawah dan jalur terus ke pantai.





Kami kemudian meneruskan perjalanan menyusuri pantai dan sampai di tempat pakir kenderaan di mana seorang teman sedang menunggu sekitar jam 11:50 pagi. Kami kemudian balik ke tempat penginapan dan di sebelah petangnya pula kami meneruskan aktivity melawat Pulau Mawar yang terkenal dengan pintu gerbangnya.

Nota:
1-Pendakian ke Gunung Arong memerlukan permit dan guide.
2- Guide Amin -019-6611712

Selasa, 28 Jun 2022

Mendaki Bukit Batu Putih Port Dickson


Saya dan tiga teman mendaki ke bukit yang popular di Port Dickson ini pada bulan June 2022. Dari tempat penginapan kami di Port Dickson, kami memandu sehingga ke pintu masuk Taman Eko Rimba Tanjung Tuan. Di sini terdapat pondok pengawal dan kami bertanya kepada pengawal mengenai jalur pendakian ke Bukit Batu Putih. Menurut pihak yang menjaga kawasan Taman Eko-Rimba Tanjung Tuan, kami perlu mendaki sedikit mini tar ke Rumah Api Tanjung Tuan dan tidak jauh dari rumah api tersebut terdapat simpang di sebelah kanan menuju ke Bukit Batu Putih.



Kami meneruskan perjalanan ke Rumah Api Tanjung Tuan dahulu sebelum membelok menyusuri jalur ke Bukit Batu Putih. Setelah melawat rumah api dari luar dan merakam beberapa keping gambar, kami meneruskan pendakian ke Bukit Batu Putih.



Kemudian kami meneruskan pendakian ke Bukit Batu Putih. Jalur memasuki hutan yang redup dan trek sedikit naik dan menurun. Akhirnya kami sampai di kaki sebuah bukit berwarna putih. Untuk menuju ke puncak bongkah batu tersebut, kami perlu memanjat sedikit batu tersebut menggunakan tali. 




Dianggarkan pendakian ke Bukit Batu Putih memerlukan masa sekitar setengah jam dari tapak pakir di pintu masuk Taman Eko Rimba. Sesampai di puncak Bukit Batu Putih, kami menjamu mata melihat lautan luas yang terdapar di bawah. Setelah merakam gambar kenangan, kami turun melalui jalan kami datang tadi.





Bukit Batu Putih Port Dickson berada di Taman Eko Rimba Tanjung Tuan dan memerlukan masa sekitar setengah jam untuk sampai ke puncaknya. Pendakian tidak memerlukan guide dan tiada bayaran yang dikenakan buat masa sekarang. Jalur jelas dan redup. 


Isnin, 27 Jun 2022

Berlayar catamaran di Tasik Timah Tasoh Perlis

Saya hanya mengetahui pelayaran catamaran cuma dilakukan di laut yang luas. Setelah seorang teman berkongsi pakage catamaran yang terdapat di Tasik Timah Tasoh, saya dan tiga teman mencuba berlayar di tasik ini pada awal June 2022.




Terdapat 3 pakage berlayar di tasik ini. Kami memilih pakage Jejak Tasoh selama sejam setengah. Mencuba sesuatu yang baru sangat mengujakan kami. Kenderaan tanpa engine ini dikelolakan oleh pemandu yang mahir membaca tiupan arah angin dan peralatan yang digunakan juga selamat. 

Cubalah sesuatu yang baru. Untuk booking trip, anda boleh hubungi: Nadiah 013 8721152 atau Nazim  011 40787678.