Kenapa saya mendaki ? Pada mulanya sekadar mengisi masa dengan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh untuk menjaga kesihatan sehingga akhirnya saya jatuh hati pada alam. Jadi blog ini saya tulis sebagai sebuah catatan diari saya disamping berkongsi info dan pengalaman saya mendaki gunung. Saya selitkan juga beberapa tempat yang saya lawati, shopping dan jalan-jalan.Terima kasih kerana sudi membaca dan maaf sekiranya ada yang tersilap. "Singgah dalam perjalanan menuju destinasi abadi".
Khamis, 5 Januari 2023
Mendaki Bukit Engku Busu Lumut, Perak
Selasa, 3 Januari 2023
Mendaki Bukit 300 Telok Batik, Lumut Perak
Bukit yang sesuai untuk memanaskan badan dan memecahkan lemak. Memulakan aktiviti mendaki pada tahun 2023 ini saya dan dua teman mendaki Bukit 300 di Telok Batik, Perak. Menggunakan Google map kami terus sampai di tapak parkir di kaki Bukit 300. Setelah memakir kenderaan dan bersedia, kami mula mendaki pada jam 10:00 pagi. Trek ke Puncak Bukit 300 jelas bertanda dan redup.
Proses pendakian agak santai. Trek ringkas, banyak mendatar dan sedikit menaik berselang seli. Ada sembilan check point sepanjang trek menuju puncak dan check point sembilan adalah puncak. Di setengah bahagian trek terdapat tali untuk berpaut selain akar pokok yang kukuh. Sepanjang perjalanan ke puncak kami berselisih dengan ramai pendaki yang mendaki bersama keluarga dan anak kecil.
Kami sampai di Puncak Bukit 300 pada jam 11:05 pagi. Di puncak Bukit 300 lapang dan redup, terdapat beberapa tempat berehat yang beratap dan sebuah pondok. Tidak terdapat view puncak kerana puncak dikelilingi pokok-pokok yang agak besar dan rendang.
Setelah berehat sambil berbual dengan pendaki lain. Mereka menyarankan kami mendaki Bukit Engku Busu tidak berapa jauh dari Bukit 300 yang kebetulan kami rancang esok. Kami bergerak turun pada jam 11:35 dan sampai semula di tapak parkir pada jam 12:25 tengahari.
Pendakian ke puncak mengambil masa kurang lebih satu jam secara sederhana. Parkir di kaki bukit ini percuma dan pendakian ke puncak bukit tidak memerlukan khidmat guide.
Khamis, 15 Disember 2022
Berjalan di Songkla Oldtown
Inilah pertama kali saya berkunjung ke Songkla Oldtown ini walaupun telah beberapa kali datang ke Songkla. Menghabiskan cuti di bulan Disember 2022 bersama seorang teman, kami memandu dari Penang memasuki Negara Thailand dari sempadan Bukit Kayu Hitam - Sadao. Seperti biasa kami ke bandar Hatyai dahulu untuk bermalam. Hatyai yang sering dikunjungi rakyat Malaysia diiktiraf syurga makanan dunia pada yang kaki makan. Saya dan teman kurang minat memburu makanan kerana kami makan sekadarnya sahaja. Tempat yang dilawati bila berkunjung ke Hatyai adalah Pasar Malam Hatyai, Asian Night Bazaar dan Floating Market yang beroperasi pada hari Jumaat hingga Ahad.
Dua malam menginap di Hatyai, hari ketiga kami bergerak ke Songkla. Dalam perjalanan kami singgah di Masjid Central Songkla dan kemudian ke Pulau Ko Yo.
Kami memandu melintasi jambatan yang menghubungkan Pulau Ko Yo di dalam Tasik Songkla ini. Di pulau Ko Yo kami cuma merakam gambar Wat Laem Pho dan beberapa monument di tepi Tasik Songkla.
Kemudian kami check-in hotel di Mueang Songkhla. Di sebelah petang pula kami ke Singhanakorn Hot Pot untuk makan secara buffe. Restaurant halal ini viral dan saya rekomen kepada pembaca yang suka makan berkunjung ke sini. Harga untuk seorang sekitar TB340, iaitu sekitar RM40 dan pengujung berpeluang menikmati berbagai jenis makanan dan masakan. Untuk mudah ke sini dari Songkla, kami menaiki fery dengan tambang TB20 untuk sebuah kereta sekali penumpang dua orang.
Selesai makan kami pulang ke hotel menaiki ferry kerana jarak perjalanan lebih dekat berbanding memandu melalui jalan raya. Keesokan harinya kami habiskan masa dengan aktivity di hotel sambil berurut badan.























































