Jumaat, 14 Oktober 2022

Mendaki Gunung Tok Nenek

 
Gunung Tok Nenek yang mempunyai puncak yang agak unik dan cantik ini mempelawa saya dan 19 orang teman pendaki menyaksikan pemandangan indah di puncaknya pada akhir September 2022. Saya menyertai open trip yang dikendalikan oleh Gogo Ninie dan Guide Sahlan SOS.
Hari pertama pendakian, kami berkumpul di R&R Loging Cameron - Gua Musang dan setelah sarapan dan bersedia, kami menaiki pancuan empat roda ke starting point Sungai Rengil sekitar 20 minit.






Setelah diberi sedikit taklimat mengenai anggaran masa jalur pendakian kami untuk hari ini, kami memulakan pendakian ke Kem Hari untuk bermalam. Menurut Sahlan, kami akan menyeberangi sungai sekitar 27 kali untuk sampai ke Puncak Gunung Tok Nenek. Kami memulakan perjalanan dengan meniti titi menyeberangi sungai. Tidak jauh melangkah, sekali lagi kami melintasi titi gantung yang agak uzur menyebabkan saya sedikit gementar.
 



Setelah trekking sekitar 30 minit, kami sampai di sebuah air terjun kecil. Sepanjang pendakian ke Kem Hari, jalur agak mendatar dan kami menyusuri sungai jernih dan sekali sekala menyeberangi sungai. Memandangkan jalur sering melintasi sungai, maka pendaki dinasihatkan memakai kasut yang sesuai semasa mendaki ke Gunung Tok Nenek.





Jam 11:35 pagi kami sampai di Kem Sungai Y. Di sini terdapat tapak perkhemahan dan persimpangan ke Gunung Yong Yap. Kami berehat sebentar sebelum meneruskan pendakian ke Kem Lengkuas dan kami sampai di Kem Lengkuas pada jam 13:40 petang. Kami makan tengahari dan berehat agak lama di sini. Jam 14:50 petang kami meneruskan pendakian ke Kem Botol, Kem Asadi dan akhirnya kami sampai di Kem Hari untuk bermalam pada jam 16:30 petang.







Malam itu setelah makan malam, kami berehat dan tidur awal. Menurut Sahlan, pendakian ke puncak akan bermula sekitar jam 3:00 pagi. Hari kedua pendakian, setelah sarapan pagi dan bersedia, kami memulakan pendakian daypack sekitar jam 04:15 pagi. Kami sampai di Kem Berlumut pada jam 05:35 pagi dan kami solat subuh di sini. Jam 06:20 pagi kami meneruskan pendakian dan setelah sampai di jalur Dinding Batu, Ninie yang telah beberapa kali sampai di puncak Gunung Tok Nenek mengatakan kami menghampiri puncak. 


Akhirnya saya yang mendaki di kumpulan  belakang sampai di Puncak Gunung Tok Nenek pada jam 08:20 pagi. Cuaca pagi itu sungguh cerah dengan pemandangan 360 darjah kami melihat puncak-puncak gunung lain di Banjaran Titiwangsa itu sungguh lawa. Teman yang sampai awal telah menyediakan air minuman dan sambil merakam gambar kenangan kami bersarapan di puncak Gunung Tok Nenek. 








Setelah puas merakam gambar dengan berbagai aksi dari berbagai sudut, kami kemudian bergerak turun sekitar jam 09:40 pagi dan sampai di Kem Hari pada jam 12:00 tengahari. 



Sebelum berangkat pulang kami makan tengahari di sini dan meneruskan perjalanan turun pada jam 14:30 petang. Kami sampai di starting point Sungai Rengil pada jam 19:00  petang dan meneruskan perjalanan ke R&R Loging menaiki 4x4. 









Beberapa kali mendaki bersama Sahlan SOS dan kumpulannya, saya rekomen pembaca menggunakan khimat mereka. Selain berpengalaman, mereka juga sangat bertanggungjawap terhadap kemampuan peserta. Terima kasih Allah.

Nota:
1- Guide Sahlan SOS 013 5085014
2- Gogo Ninie 013 5313553

Itenerary:
Day 1.
08:00-Berkumpul di R&R Loging Cameron- Gua Musang.
0830 -Naik 4x4 ke starting point Sungai Rengil.
08:50-Taklimat ringkas.
09:25-Start mendaki.
10:15-Air terjun.
11:35-Kem Sungai Y.
13:40-Kem Lengkuas, makan tengaharil.
15:10-Kem Botol.
15:35-Kem Asadi.
16:30-Kem Hari, bermalam.
Day 2
0300-Bangun bersedia dan sarapan.
04:15-Start mendaki 
05:35-Kem Berlumut, rehat dan subuh.
06:20-Meneruskan pendakian.
08:20-Sampai puncak Gunung Tok Nenek.
09:40-Bergerak turun.
12:00-Sampai Kem Hari dan makan tengahari.
14:30- Meneruskan perjalanan turun.
19:00- Sampai starting point Sungai Rengil. 

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Syabas

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih