Khamis, 18 Jun 2026

Bercuti di enam negara di Benua Afrika



Saya dan lima teman bercuti di enam negara di benua africa ini pada penghujung October 2025 selama 21 hari. Ini merupakan kali kedua saya menjejakkan kaki ke Benua Africa yang memiliki 54 negara yang di iktiraf oleh PBB. Kali ini kami akan ke negara Afrika Selatan, Zimbabwe, Boswana, Zambia, Eswatini dan Lesotho. Perjalanan kami bermula dari Kuala Lumpur dan transit di Dubai. Hari kedua kami sampai di Johannesburg dan meneruskan penerbangan ke bandar Capetown. Kami bercuti di Capetown selama lima hari. Kami menyewa di Apartmen Chrismar di Blaauwberg Road.


Hari ketiga percutian kami bermula di Capetown. Seawal pagi kami berenam ke tempat sewa kereta. Setelah urusan sewa kenderaan selesai, perjalanan pun bermula. Tempat lawatan pertama kami adalah Bo Kaap (Cape Malay Village) pusat budaya komuniti Islam Cape. Rumah-rumah di sini dicat berwarna warni lambang kebebasan setelah sekian lama diwajibkan berwarna putih.


Kemudian kami ke Castle Of Good hope dan Signal Hill. Castle Of Good Hope adalah benteng kolonel tertua di Afrika Selatan.  Bangunan muzium bentuk segi lima ini dibina dari tahun 1666 hingga 1679 dan merupakan tempat pertahanan dan pentadbiran Belanda. Signal Hill yang berketinggian 350mdpl pula merupakan antara tempat terbaik melihat Bandar Capetown, Table Mountain dan Lautan Atlantik.



Kemudian kami ke Table Mountain. Icon Capetown setinggi 1086mdpl ini tersenarai dalam tujuh keajaiban alam semulajadi dunia yang baru. 



Aktiviti hari ketiga ini kami akhiri dengan lawatan ke V&A Waterfront. Di sini terdapat kedai-kedai menjual berbagai barangan, restaurant dan kemeriahan Capetown.


Hari ke empat kami ke Hout Bay and Seal Island. Di pelabuhan nelayan ini sering menjadi tempat lepak anjing laut. Kami mencuba nasib di sini untuk melihat anjing laut namun tidak beruntungan.



Kemudian kami memandu di jalanraya yang terkenal di bibir tebing tinggi Lautan Atlantik. Chapman's Peak Drive sejauh sembilan kilometer ini berbelok-belok dan dikenakan bayaran tol.


Setelah itu kami ke Cape Point. Terdapat rumah api di puncak Cape Point ini. Di puncak yang berketinggian melebihi 200mdpl, kami menyaksikan keindahan bumi Capetown.


Kemudian kami ke Cape Of Good Hope. Tanjung ini bukan titik penghujung Benua Africa seperti yang didakwa. Tanjung Pengharapan ini terkenal kerana penjajah Portugis dan penemuan jalur laut menuju India.


Kami akhiri lawatan pada hari keempat ini dengan mengunjungi bandar tepi laut Muizenberg Beach yang damai. Deretan chalet berwarna warni tepi pantai merupakan salah satu tarikan di bandar tepi laut ini.


Hari kelima kami ke Boulder's Beach di Simon Town. Pantai Boulder's ini terkenal dengan kubu penguin. Masuk ke kawasan perumahan penguin ini dikenakan bayaran. Pelantar kayu dibina sepanjang tepi laut untuk laluan pengunjung melihat penguin.




Kemudian kami ke Bandar Hermanus yang terkenal sebagai tempat paus membuat persembahan. Paus di Lautan Atlantik ini kadang kala menghampiri tepi laut bandar Hermanus dan bermain di sana. Pelancong yang bernasib baik akan menyaksikan pesta percuma ini. Kami tidak bernasib baik dan di bandar yang damai ini kami membeli belah di deretan kedai  menjual cenderahati.





Kemudian kami ke L'Agulhas Cape. Tanjung paling selatan di tanah Benua Afrika ini terletak di titik pertemuan Lautan Hindi dan Lautan Atlantik. Di sinilah sebenarnya tanah paling selatan Benua Afrika.




Hari keenam, awal pagi kami mendaki Gunung Lion Head yang merupakan trek paling popular di Capetown. Trek mendaki jelas, tidak perlu guide, percuma dan jalur terbuka. Pemandangan di puncak adalah bonus dan sangat berbaloi.



Setelah turun dari Lion Head kami berkunjung ke Greenmarket Square and Long Street. Antara pasar tertua di Afrika Selatan dan berbagai barangan terdapat di sini. Malam itu kami menghabiskan masa di Canal Walk Shopping Centre dan ke Sea Point Promenade di Camp Bay Beach.





Hari ketujuh kami terbang ke Johannesburg. Tidur semalam di Johannesburg dan petang itu kami cuma bersiar di shopping complex memenuhi masa. Hari kelapan kami terbang ke Victoria Fall Town, Zimbabwe. Tujuan utama kami ke sini adalah kerana Air Terjun Victoria.





Victoria Fall Town Zimbabwe terletak di sempadan negara Zambia dan Botswana. Jadi kami bercadang melawat tiga negara ini. Hari kesembilan kami melawat Air Terjun Victoria di bahagian Zimbabwe dan kemudian ke sebelah negara Zambia. Di sebelah petang kami mengambil pakage Zambezi Sunset River Cruise.




Air Terjun Victoria ini terletak dalam dua taman negara iaitu Taman Negara Mosi-oa-Tunya di Zambia dan Taman Negara Victoria Fall di sebelah Zimbabwe. 70 peratus air terjun ini kelihatan dari negara Zimbabwe manakala baki 30 peratus dilihat dari negara Zambia.




Petang itu kami belayar santai di Sungai Zambezi sambil mendengar muzik, melihat binatang dan menikmati minuman dan makanan ringan. Petang itu matahari terbenam tidak begitu merah.




Hari kesepuluh kami ke Chobe National Park di negara Botswana. Jarak Victoria Fall Town ke sempadan Botswana sekitar sejam memandu. Di Taman Negara Chobe ini kami mengambil dua pakage iaitu Safari Darat di sebelah pagi dan Safari Bot di sebelah petang. Selesai lawatan di Chobe National Park kami kembali ke Bandar Victoria Fall Zimbabwe. 








Hari kesebelas sepatutnya jadual kami menaiki Steam Train. Disebabkan pakage Keretapi Wap agak mahal, kami membatalkan agenda ini. Sebagai gantinya kami ke Livingstone Town di Zambia. Kemarin kami melawat Zambia agak tergesa-gesa, jadi hari ke sebelas ini kami memasuki sekali lagi Bandar Livingstone Zambia untuk membeli belah. Proses memasuki Negara Zambia lancar dan kali kedua ini kami menyewa kereta sekali pemandu. Setelah sampai di bandar Livingstone Zambia, kami terus ke bank untuk menukar duit. Kemudian kami ke pasar kraftangan di tengah Bandar Livingstone dan aktiviti membeli belah pun bermula.






Selesai membeli belah, kami makan di sebuah cafe di bandar Livingstone dan kemudian kami pulang semula ke Victoria Fall Town Zimbabwe. Petang itu kami meronda di bandar Victoria Fall, melawat Big Tree, Elephant Walk Shopping Village dan sekitar Bandar Victoria Fall.












Hari kedua belas jadual penerbangan kami ke Johannesburg di sebelah petang. Pagi itu kami meronda lagi di Bandar Victoria Fall. Kami singgah di Lockout Cafe, cafe di tebing sungai ini popular sebagai tempat melihat Air Terjun Victoria yg mengalir ke sungai. Sampai di Johannesburg kami menyewa sebuah van dan bermalam di sana sebelum meneruskan perjalanan keesokkan harinya.



Hari ketiga belas kami memandu ke Kruger National Park. Kami bercuti di sana tiga hari dua malam. Hari keempat belas kami mengambil pakage sehari Safari Darat di Taman Negara Kruger. Di sebelah petang kami bersiar di bandar Hezyview.




Kruger National Park merupakan taman negara pertama di Africa Selatan. Boleh dilawati sepanjang tahun dan masa paling baik adalah di musim sejuk dari bulan May hingga September.






Hari kelima belas kami meneruskan perjalanan ke negara Lesotho. Dalam perjalanan ke sana kami singgah sebentar di negara Eswatini. Kami memasuki negara Eswatini dari sempadan Jeppe's Reef Afrika Selatan dan Matsumo Eswatini manakala keluar dari sempadan Ngwenya Eswatini ke Oshoek Afrika Selatan. Di Eswatini kami ke Bandar Mbabane sekitar sejam memandu dari sempadan Matsamo. Kami ke Craf Market, shopping complex dan pasar buah-buahan.








Petang itu kami memasuki kembali negara Afrika Selatan, kami singgah di sebuah masjid yang baru dibina di sempadan Oshoek Afrika Selatan.


Malam itu kami bermalam di bandar Standerton sebelum meneruskan perjalanan ke Negara Lesotho.


Hari ke enam belas kami meneruskan perjalanan ke Negara Lesotho. Kami bermalam di Maseru. Petang itu setelah check in di penginapan, kami ke Thaba Bosiu Culture Village dan meronda di sekitar bandar maseru.



Hari ke tujuh belas rancangan kami mendaki ke Lion Hill. Rancangan ini tidak terlaksana kerana agak terburu-buru untuk pulang ke Johannesburg petang nanti. Kami cuma merakam gambar di kaki Lion Hill yang juga dikenali Lion Rock Mountain ini. Sebelum pulang semula ke johannesburg kami singgah sebentar di Basotho Hut untuk membeli cenderahati.






Petang itu kami memandu keluar dari Negara Lesotho melalui sempadan Maseru Bridge seperti kami datang semalam. Saya berharap untuk datang lagi ke Negara Lesotho ini jika ada rezeki untuk menerokai negara bergunung ganang yang tidak sempat kami jelajahi ini satu masa nanti.


Sampai di Johannesburg petang itu, kami check in dan ke pasaraya untuk membeli sedikit barang makanan. Kami menginap empat malam di Johannesburg. Hari ke lapan belas kami bersiar di bandaraya Johannesburg dan singgah di Masjid Ul-Ansaar. Kemudian kami ke Johannesburg Botanical Garden, Masjid Raudhatul Islam dan malamnya kami ke Nelson Mandela Square.






Hari ke sembilan belas kami ke Rosebank Art & Craft Market dan ke Mandela Mall untuk membeli cenderahati dan buah tangan. Kemudian kami ke Masjid Houghton. Senja hari ke sembilan belas kami menyaksikan matahari terbenam di Munro Drive View Point dan malam itu kami sekali lagi ke Nelson Mandela Square.








Hari ke dua puluh kami nelson mandela house di Vilakazi Street. Rumah kediaman tokoh dunia yang memperjuangkan sistem Apartheid dan keluarganya ini sekarang bertukar menjadi muzium Mandela. Masuk ke sini dikenakan bayaran dan sepanjang jalan vilakazi sebuk dengan persembahan  dari penduduk tempatan, gerai cenderahati dan cafe. Kemudian kami ke Apartheid Muzium dan singgah sebentar di Masjid Siratul Jannah. Akhir sekali kami ke Constitutional Hill. Bangunan bekas penjara ini berfungsi sebagai pusat hak asasi manusia dan muzium yang menceritakan perjalanan tentang pejuangan dan pembebasan Afrika Selatan menuju demokrasi. Di penjara ini juga Nelson Mandela pejuang apartheid pernah dikurung. 










Petang hari itu kami terbang pulang ke kuala lumpur setelah transit di Dubai. Kami sampai di Kuala lumpur sekitar pukul 22:00 malam pada hari ke21. Saya berharap untuk datang lagi ke benua Afrika ini sekiranya ada rezeki. Terima kasih Allah.

Itinerary
Hari 1
Kuala Lumpur - Dubai- Johannesburg
Hari 2
Johannesburg ke Capetown
Kami menyewa di Apartmen Chrismar di Blaauwberg Road.
Hari 3
Sewa kereta
Bo Kaap (Cape Malay Village)
Castle Of Good Hope
Signal Hill 
Table Mountain
V&A  Waterfront
Hari 4
Hout Bay and Seal Island
Chapman's Peak Drive
Cape Point 
Cape Of Good Hope
Muizenberg Beach
Hari 5
Boulder's Beach (Simon Town)
Hermanus 
L'Agulhas Cape
Hari 6
Mendaki Lion Head 
Greenmarket Square and Long Street
Canal Walk shopping Centre
Sea Point Promenade
Camp Bay Beach
Hari 7
Terbang pulang ke Johannesburg 
Ronda Johannesburg
Hari 8
Terbang dari Johannesburg ke Victoria Fall Town Zimbabwe
Sewa kereta, beli sim kad, beli barang dapur dan bermalam di penginapan.
Hari 9
Victoria Fall Zimbabwe, Victoria Fall Zambia 
Zambezi River Sunset Cruise.
Hari 10
Chobe National Park Botswana
Pagi game driver safari (safari darat)
Petang River Cruise Chobe (safari bot)
Hari 11
Livingstone Shopping Bazaar
Victoria Fall Bridge
Craf Market
Ronda Elephant Walk Shopping Village
Big Tree
Hari 12
Lockout Cafe 
Terbang ke Johannesburg
Sewa kereta dari airport untuk seminggu
Ronda shopping kompleks
Hari 13
Memandu ke Kruger National Park
Ronda Hazyview
Hari 14
Sehari trip Safari Kruger National Park
Ronda bandar Hazyview
Hari 15
Bertolak ke Eswatini, masuk melalui sempadan Jeppe's Reef.
Craft Market di bandar Mbabane dan keluar melalui sempadan Ngwenya dan sempadan Oshoek Mpumalanga Afrika Selatan
Bermalam di bandar Standerton Afrika Selatan.
Hari 16
Dari Standerton masuk Lesotho melalui sempadan Maseru Bridge dan bermalam di Maseru.
Thaba Bosiu Culture Village.
Hari 17
Lion Rock
Basotho Hut
Lesotho ke Johannesburg keluar melalui sempadan Maseru bridge.
Hari 18
Bersiar di Bandar Johannesburg
Masjid Ul-Ansaar
Johannesburg Botanical Garden 
Masjid Raudhatul Islam
Nelson Mandela Square
Hari 19
Rosebank Art & Craft Market. 
Mandela Mall
Masjid Houghton
Munro Drive View Point
Nelson Mandela Square
Hari 20
Vilakazi Street
Nelson Mandela House
Apartheid Muzium
Masjid Siratul Jannah
Constitutional Hill.
18:00- Johannesburg - Dubai- Kuala Lumpur
Hari 21
08:30 Sampai Dubai
10:40 Dubai- Kuala Lumpur
21:55 Sampai Kuala Lumpur


Tiada ulasan: