Johannesburg merupakan bandar transit kami semasa kami bercuti di enam negara di selatan Benua Afrika. Berulang kali kami bermalam di bandar ini semasa percutian selama 21 hari. Kali pertama kami ke sini dari Kuala Lumpur. Kami transit ke sini untuk ke Bandar Capetown. Selesai percutian di Capetown kami pulang dan bermalam di sini sebelum transit ke Bandar Victoria Fall Zimbabwe. Sekembalinya kami dari Victoria Fall Town, kami bermalam lagi di bandar Johannesburg sebelum memulai perjalanan ke negara Eswatini dan Lesotho. Kali keempat kami ke Johannesburg pada hari ketujuh belas percutian kami setelah pulang dari negara Lesotho.
Masa ini musim bunga jacaranda hampir di penghujung. Namun di setengah jalan masih ungu dengan baki bunga jacaranda dan kami menikmati indah ungu jacaranda di akhir musim. Hari ke lapan belas kami bersiar di bandar di Johannesburg. Kami singgah di Masjid Ul-Ansaar.
Kemudian kami ke Johannesburg Botanical Garden. Di sana kami melawat pokok bunga rose. Selesai melawat botanical garden kami singgah di Masjid Raudhatul Islam di Roosevelt Park. Di hadapan masjid ini bunga rose putih sedang mekar berbunga. Di sebelah malam kami ke Nelson Mandela Square.
Hari ke sembilan belas kami ke Rosebank Art & Craft Market. Craft Market ini terletak di tingkat bawah bangunan. Berpuluh-puluh buah gerai menjual cenderahati, pakaian, perhiasan, ukiran dan kraf tangan product Afrika diniagakan di sini. Kami membeli cenderahati dan membeli belah di Mandela Mall seharian.
Kemudian kami ke Masjid Houghton. Bumbung Masjid Houghton yang berwarna putih ini agak istimewa kerana berbentuk separa bulat dan bertingkat-tingkat. Petang itu kami menyaksikan matahari terbenam Munro Drive View Point. Dari puncak bukit Munro Drive View Point, kami menyaksikan tompok-tompok ungu bunga jacaranda.
Hari ke duapuluh kami ke Mandela House di Soweto. Dalam perjalanan ke sana kami singgah merakam gambar di depan salah satu stadium bola piala dunia yang diadakan di Afrika Selatan pada tahun 2010.
Melawat ke bekas kediaman Nelson Mandela pejuang Apartheid dan keluarganya ini dikenakan bayaran. Rumah ini kini dijadikan Muzium Mandela. Terdapat persembahan tradisional di luar rumah tokoh dunia ini. Kemudian kami ke Vilakazi Street yang berhampiran kawasan Mandela House. Sepanjang Vilakazi Street ini terdapat gerai menjual cenderahati dan cafe. Suasana agak sebuk dengan pelancong, persembahan bebas masyarakat tempatan dan urusan jual beli.
Kemudian kami singgah ke Masjid Siratul Jannah. Masjid Siratul Jannah siap dibina pada tahun 2022 dan berwarna keemasan sehingga dijoloki Masjid Farrero. Seperti masjid-masjid lain di Johannesburg, Masjid Siratul Jannah menjadi tempat menuntut ilmu dan kelas agama kepada anak-anak tempatan.
Akhir sekali dalam perjalanan ke airport kami singgah di Constitutional Hill. Bangunan bekas penjara ini berfungsi sebagai pusat hak asasi manusia dan muzium yang menceritakan perjalanan tentang pejuangan dan pembebasan Afrika Selatan menuju demokrasi. Di penjara ini juga Nelson Mandela pejuang apartheid pernah dikurung.
Petang hari ke duapuluh kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur dan setelah transit di Dubai kami sampai di tanah air pada lewat malam hari ke duapuluh satu. Saya berharap berpeluang berkunjung lagi ke negara-negara lain di Benua Afrika ini lagi jika ada rezeki. Terima kasih Allah.
Jadual perjalanan
Hari 17- Lesotho ke Johannesburg.
Hari 18- Bersiar di Bandar Johannesburg, Masjid Ul-Ansaar, Johannesburg Botanical Garden, Masjid Raudhatul Islam, Nelson Mandela Square
Hari 19-Rosebank Art & Craft Market. Mandela Mall, Nelson Mandela Square, Masjid Houghton, Munro Drive View Point dan Nelson Mandela Square
Hari 20-Vilakazi Street, Nelson Mandela House, Apartheid Muzium, Masjid Siratul Jannah, Constitutional Hill.
18:00- Johannesburg - Dubai- Kuala Lumpur
Hari 21-08:30 Sampai Dubai
10:40 Dubai- Kuala Lumpur
21:55 Sampai Kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan