Walaupun di Jepara terdapat banyak pantai yang cantik, saya memilih untuk bermalam di Pantai Kartini kerana kedudukannya yang hampir dengan dermaga untuk ke Pulau Karimun. Dari Semarang Airport saya dan kawan-kawan menaiki mobil ke Jepara yang mengambil masa kurang lebih 3 jam perjalanan. Kami bermalam di Home Stay Kota Baru di Pantai Kartini dalam perjalanan ke Pulau Karimun..
Sepetang di Pantai Kartini kami habiskan dengan bersiar-siar di sekitar bandar Jepara dengan menaiki beca. Berhadapan dengan Pantai Kartini adalah Pulau Panjang yang merupakan salah satu tempat terbaik melihat matahari tenggelam.
Selain merupakan tempat riadah keluarga, Pantai Kartini juga merupakan tempat menjamu selera. Terdapat berderetan gerai menjual makanan dan minuman, kedai cenderamata, pakaian dan mainan di pantai ini.
Dari pantai ini juga kita boleh melihat matahari terbenam, tetapi yang paling menarik di Pantai Kartini adalah binaan kura-kura gergasi yang dapat dilihat dari jauh. Kura-Kura Ocean Park merupakan salah satu tarikan Pantai Kartini. Ramai pengunjung akan bergambar di hadapan ocean park ini sebagai kenangan sampai ke sini.
Jika pembaca ke pantai ini jangan lepaskan peluang menjamu selera di gerai makanan di hadapan Kura-Kura Ocean Park. Makanannya enak dan harganya berpatutan.
Setelah berehat dan bermalam di sini, kami meneruskan perjalanan ke Pulau Karimun keesokan paginya. Bot laju ke Pulau Karimun bertolak pada pukul 9:00 pagi dan mengambil masa 2 jam untuk sampai ke destinasi.
Mentari pagi di Pantai Kartini. |
Nota:
1- Tambang bot ke Pulau Panjang dari Pantai Kartini adalah IDR 15 ribu seorang sehala.
2- Tambang bot laju dari Pantai Kartini ke Pulau Karimun adalah IDR185 ribu sehala (VIP).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan