Jumaat, 17 Jun 2016

Senja nan merah di Pulau Karimunjawa


      Baik di puncak gunung mahu pun di tepi pantai di pulau, menyaksikan matahari terbit atau terbenam adalah antara detik yang selalu ditunggu. Saya dan teman-teman bercuti di pulau Karimunjawa pada May 2016 dan perasaan kami pun sama, ingin menyaksikan anugerah hebat dari YANG MAHA BESAR itu juga. Kepulauan Karimunjawa terdiri dari 27 buah pulau, 5 darinya berpenghuni manakala yang lainnya hanya dikunjungi pelancong yang bercuti.


      Saya menginap di Wisma Apung selama bercuti di pulau ini. Petang hari kedua di sini, kami singgah di Tanjung Gelam sekembalinya dari aktivity snorkling. Pantai Tanjung Gelam popular kerana keistimewaan pokok kelapa di tepi pantainya yang condong ke laut. Selain faktor pasirnya yang putih dan halus, ia juga menjadi antara tempat yang tepat menyaksikan matahari terbenam.






        Jika kita sampai di pantai Tanjung Gelam ini awal, kita boleh mandi di laut atau  minum petang. Di pantai ini terdapat sederet gerai menjual air kelapa, minuman dan gorengan. Satu lagi spot terbaik menyaksikan matahari terbenam di Karimunjawa adalah di pantai Batu Topeng. Saya dan teman-teman singgah di pantai ini dalam perjalanan pulang dari activity snorkling pada hari ketiga kami di sini. Pantai Batu Topeng ini  terletak di sebelah kiri pantai Tanjung Gelam di pulau Karimunjawa.




       Seperti juga di pantai Tanjung Gelam, pasir di pantai Batu Topeng juga halus putih dan airnya jernih. Kami mandi laut dan singgah minum di warung tepi pantai sementara menunggu matahari terbenam. Menariknya, di pantai Batu Topeng ini ada sebuah pondok atau wakaf yang dibina agak ketengah laut. Jika air laut pasang, ia kelihatan terapung di dalam air. Di pantai ini juga terdapat warung menjual air kelapa, minuman dan gorengan.






          Kuasa cahaya dari langit ini amat mempengaruhi kami sehingga semasa pemandu bot mengajak kami pulang, kaki kami masih melekat di pasir pantai Batu Topeng. Walaupun di atas bot, pandangan kami masih tertumpu kepada senja nan merah sehingga cahaya keemasan itu tenggelam ditelan laut. Terima kasih Allah.


Nota:
1-Pantai Tanjung Gelam dan pantai Batu Topeng boleh dikunjungi dengan menaiki bot.
2- Kedua-dua pantai ini juga boleh dikunjungi melalui jalan darat sekitar 30 minit  dari Alun-Alun Karimunjawa.

Tiada ulasan: