Kami bermalam di Homestay Kota Baru di Pantai Kartini dan meneruskan perjalanan keesokan paginya. Pantai Kartini merupakan antara pantai popular di Jepara sebagai pantai riadah dan terletak berhampiran jetty ke Pulau Karimunjawa. Di sini juga terdapat Kura-Kura Ocean Park dan Pulau Panjang yang terkenal sebagai spot matahari terbenam, terletak dihadapannya. Jika anda ke pantai ini jangan lepaskan peluang menjamu selera di gerai makan berhadapan Kura-Kura Ocean Park.
Kami sampai di Pulau Karimunjawa sekitar jam 11:15 pagi setelah menaiki bot laju dari pelabuhan Jepara jam 9:00 pagi. Di pulau karimunjawa kami mengambil pakage 4 hari 3 malam di Wisma Apung yang dibina di atas benteng pasir dan karang di tengah laut. Wisma Apung yang asalnya adalah tempat pemeliharan ikan dalam sangkar terkenal kerana terdapat ikan yu yang dipelihara di bawah bilik penginapan pelancong.
Setelah makan tengahari, petang itu kami membuat lawatan ke Pulau Karimun besar. Kami menaiki bot sekitar 5 minit dari Wisma Apung ke Pulau Karimun besar, dan meneruskan perjalanan ke makam Sunan Ngamplungan dengan menaiki 2 buah van. Sunan Ngamplungan adalah putera kepada Sunan Muriya iaitu walisongo yang menjumpai Pulau Karimun dan menghantar puteranya itu untuk mendalami ilmu agama di pulau ini.
Kemudian kami ke Bukit Love. Di sini antara tempat menyaksikan matahari terbenam. Di bukit ini terdapat sarang burung buatan untuk pelancong bergambar, binaan batu Pulau Karimunjawa dan kedai cenderamata. Ticket ke Bukit Love ini adalah IDR 10 ribu seorang.
Setiap malam di Karimunjawa kami akan ke Alun-Alun kerana ada jualan atau pasar malam di sini. Antara barangan yang dijual adalah pakaian dan cenderahati. Tetapi yang menariknya terdapat banyak gerai menjual makanan laut. Kami juga tidak melepaskan peluang merasai lobster bakar dengan harga yang agak murah.
Hari kedua kami di sini, kami mulai dengan aktivity snorkling. Spot pertama snorkling adalah Pulau Menjangan Kecil. Pulau yang dikelilingi karang indah ini memang patut dikunjungi jika kita bercuti di Karimunjawa. Kami juga bermain dengan ikan Nemo di sini.
Setelah penat berenang kami dibawa ke Pulau Cemara Kecil untuk makan tengahari. Di pulau Cemara Kecil terdapat sebuah gerai menjual makan dan minuman jika kita tidak membawa makanan.
Setelah berehat lama di pulau ini kerana keletihan, kami singgah dan bersantai di Tanjung Gelam dalam perjalanan pulang ke Wisma Apung. Tanjung Gelam terkenal dengan pokok kelapa di tepi pantai yang condong ke laut. Di sini juga terdapat dereten gerai minuman dan makanan seperti gorengan dan mi segera. Tanjung Gelam juga merupakan antara spot terbaik menyaksikan matahari terbenam.
Setelah penat snorkling di Pulau Gosong Cemara, kami singgah sebentar di Pantai Batu Topeng dalam perjalanan pulang ke Wisma Apung. Pantai Batu Topeng terletak di Pulau Karimun besar bersebelahan Tanjung Gelam. Seperti Pantai Tanjung Gelam, Pantai Batu Topeng juga boleh di kunjungi melalui jalan darat sekitar 30 minit dari Alun-Alun. Di Pantai Batu Topeng juga terdapat gerai-gerai yang menjual minuman dan makanan, dan yang paling menarik di Pantai Batu Topeng terdapat wakaf yang dibina di atas batu agak ke tengah laut yang kelihatan timbul sekiranya air laut pasang. Pantai Batu Topeng juga merupakan antara spot terbaik melihat matahari terbenam.
Keesokan harinya kami berangkat pulang ke Jepara. Kami singgah sebentar membeli cenderahati di kota ukir Jepara dalam perjalanan pulang ke Semarang. Akhirnya kami sampai di Semarang lewat petang. Kami bermalam di Semarang dan meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur keesokan paginya.
Memang seronok bercuti di Pulau Karimunjawa. Saya dan teman-teman bercadang ke sini lagi di masa akan datang seandainya ada rezeki dan peluang kerana Pulau Karimunjawa yang berjumlah 27 buah pulau ini masih tidak kami kunjungi kesemuanya lagi. Di bawah ini ada beberapa keping gambar karang yang sempat kami rakam semasa snorkling di sana. Terima kasih Allah.
Nota:
1- Jumlah hari percutian kami termasuk hari datang dan berangkat pulang adalah 6 hari.
2- Pulau Karimunjawa boleh dikunjungi melalui jalan air dari Pelabuhan Tanjung Emas di Semarang sekirar 4 jam atau dari Pelabuhan Pantai Kartini di Jepara sekitar 2 jam 15 minit.
3- Pulau Karimunjawa juga boleh dikunjungi melalui penerbangan dari airport Semarang atau airport Surabaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan